Ramai Kaum Penan tiada kad pengenalan

Ramai Kaum Penan tiada kad pengenalan

KUCHING, 31 Julai (Bernama) – Masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri masih merupakan masalah besar dalam kalangan masyarakat kaum Penan di Sarawak, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri, Datuk Fatimah Abdullah.

Menurut beliau, masalah ibu bapa dan pelajar kaum Penan tidak memiliki kad pengenalan diri sering dibangkitkan dan ini boleh menjejaskan usaha untuk memberi pendidikan kepada anak-anak Penan.

Sehubungan itu, Fatimah menggesa supaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggandakan usaha untuk mendaftar dan mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada individu yang masih belum memiliki sebarang dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir dan kad pengenalan.

“Ia masalah besar dan saya akan berbincang dengan pihak JPN bagaimana untuk menyelesaikannya,” katanya pada sidang akhbar selepas bermesyuarat mengenai cadangan penubuhan lima buah prasekolah di bawah Program Pendidikan Komuniti (Penan) kawasan Apoh/Tutoh di daerah Baram dalam Bahagian Miri tajaan Petronas di pejabatnya di sini, hari ini.

Sementara itu, Fatimah berkata kadar keciciran dalam kalangan murid dan pelajar kaum Penan kini berkurangan berikutan penubuhan sekolah Konsep 9 (K9) di Sekolah Kebangsaan Bedian, Baram.

Sekolah berasrama penuh itu mempunyai kelas dari tahun satu hingga tingkatan tiga, yang menurut Fatimah terbukti berjaya mengurangkan keciciran pelajar kerana ia membolehkan murid sekolah rendah meneruskan pengajian ke sekolah menengah sehingga ke tingkatan tiga tanpa perlu berpindah sekolah.

Fatimah berkata sebelum penubuhan sekolah berkenaan begitu ramai kanak-kanak Penan tidak melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah akibat berjauhan dari kampung mereka dan masalah pengangkutan untuk ke sekolah.

Selain itu, katanya sosial budaya kaum Penan juga sedikit menyumbang kepada keciciran dalam kalangan pelajar kaum Penan.

“Ibu bapa orang Penan sangat sayangkan anak-anak mereka sehingga tidak mahu berpisah daripada anak-anak mereka, malah ada yang sanggup tinggal di “arau” (pondok) yang dibina berhampiran sekolah semata-mata ingin berdekatan dengan anak-anak mereka,” kata Fatimah.