Ramai lagi bebas

Ramai lagi bebas

YANGON, 17 April (AFP) – Presiden Myanmar Htin Kyaw memberi pengampunan kepada berpuluh tahanan politik pada Tahun Baru tradisi negara itu hari ini, menurut kumpulan pemerhati ketika pentadbiran awam beliau berusaha menyingkirkan belenggu pemerintahan tentera hampir setengah dekat.

Kerajaan baru, yang diterajui oleh aktivis veteran demokrasi Aung San Suu Kyi telah berikrar akan mengutamakan pembebasan ramai tahanan politik yang dipenjara oleh bekas pemimpin tentera negara itu.

“Menurut dokumen kami, 63 tahanan politik dibebaskan dari pelbagai penjara melalui pengampunan presiden,” menurut Pertubuhan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), meskipun tidak segera jelas berapa ramai akan dibenarkan meninggalkan sel penjara mereka hari ini.

Pengampunan presiden yang dikeluarkan pagi ini mengatakan 83 orang akan dibebaskan tetapi tidak menyatakan berapa ramai dalam senarai adalah tahanan politik.

Kenyataan presiden, tindakan politik besar pertama beliau selepas memegang jawatannya, mengatakan pengampunan dihasratkan ‘supaya rakyat merasa gembira dan aman dan meningkatkan perdamaian kebangsaan ketika Tahun Baru.”

Cuti tahun baru Myanmar yang hampir dua minggu, keraian Buddha dikenali sebagai Thingyan jatuh pada pertengahan April dan menyaksikan kebanyakan pejabat ditutup manakala orang ramai berbaris di jalan raya untuk menyimbah antara satu sama lain dengan air untuk membersihkan dosa tahun lalu mereka.

Parti memerintah Suu Ki, Parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD) yang mengambil alih pucuk pimpinan bulan lalu selepas menang besar dalam pilihan raya bersejarah pada November lalu, mempunyai ramai bekas tahanan politik yang pernah dipenjara kerana kegiatan aktivis demokrasi mereka di bawah bekas rejim tentera.

ARTIKEL YANG SAMA