Ramai pembantu rumah ‘terperangkap’ di Oman

Ramai pembantu rumah ‘terperangkap’ di Oman

DUBAI, 13 Julai – Pemerhati Hak Asasi Manusia mengingatkan hari ini bahawa ramai pembantu rumah asing di Oman terperangkap dalam pekerjaan yang teruk, menggesa negara supaya memperbaharui sistem imigresen ‘yang terbatas’.

Dalam laporan setebal 67 muka surat bertajuk “Saya Dijual: Penganiayaan dan Eksploitasi Pembantu Rumah Penghijrah di Oman,” pengawas yang berpangkalan di New York menemu ramah 59 pembantu rumah, ada di antaranya menggambarkan “penganiayaan yang bersamaan dengan pekerja paksa atau penyeludupan.”

Laporan mendokumenkan bagaimana sistem penajaan visa untuk pekerja di Oman, dikenali di negara Teluk sebagai kafala, dan kekurangan perlindungan undang-undang pekerja, meninggalkan pembantu rumah asing “terdedah kepada penganiayaan dan eksploitasi.”

“Pembantu rumah asing di Oman terikat kepada majikan mereka dan bergantung pada belas kasihan mereka,” kata penyelidik hak wanita HRW Timur Tengah, Rothna Begum.

“Majikan boleh memaksa pembantu rumah bekerja tanpa rehat, gaji atau makanan, mengetahui mereka boleh dihukum jika mereka melarikan diri, sementara majikan jarang menghadapi penalti atas peng-aniayaan,” kata beliau.

HRW berkata sekurang-kurangnya 130,000 kakitangan pembantu rumah asing wanita bekerja di Oman.

Dalam satu kes yang didokumenkan, warga Bangladesh Asma K, berkata dia berkunjung ke Amiriah Arab Bersatu untuk bekerja di sana, tetapi agensi pekerjaannya “menjualnya” kepada seorang lelaki yang merampas pasportnya dan membawanya ke Oman, di mana dia memaksanya bekerja 21 jam sehari.

“Saya akan mula bekerja pada pukul 4:30 pagi dan siap pada 1 pagi,” dia dipetik sebagai berkata oleh HRW.

“Sepanjang hari mereka tidak membenarkan saya duduk. Apabila saya berkata saya mahu meninggalkan tempat itu, dia berkata: “Saya membeli kamu dengan harga 1,560 riyal dari Dubai. Pulangkan duit itu dan kamu boleh pergi.”

HRW menggesa Oman memperbaharui undang-undang pekerjanya untuk merangkumi pembantu rumah dan menyediakan mereka dengan “perlindungan yang sama” yang diberikan kepada pekerja lain, dan mengubah sistem kafala. – AFP