‘Ramai staf FIFA miliki akaun bank di Switzerland’

‘Ramai staf FIFA miliki akaun bank di Switzerland’

ZURICH, 15 Okt – Berbelas-belas pegawai di badan induk bola sepak dunia, FIFA, yang digegarkan dengan penyiasatan rasuah di Amerika Syarikat dan Switzerland, mempunyai akaun di bank swasta Switzerland, Julius Baer, menurut laporan akhbar Handelszeitung semalam.

Ia tidak memetik sumber bagi maklumat dalam cerita ringkas yang dikeluarkan menjelang penerbitan hari ini.

Julius Baer enggan mengulas mengenai laporan itu, tetapi berkata: “Julius Baer – sebagai salah satu dari beberapa bank yang disebut dalam pendakwaan – sudah pun melancarkan penyiasatan dalaman dan bekerja sama dengan pihak berkuasa.

Bagi perkara dasar, kami tidak mahu mengulas mengenai prosiding yang masih belum dilaksanakan.”

Pendakwa AS pada Mei lalu mendakwa 14 pegawai bola sepak dan pemasaran dalam penyiasatan rasuah terbesar melanda FIFA dalam sejarah 111 tahunnya.

Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) melakukan penyiasatan yang selari.

OAG bulan lalu menghimpunkan sekitar 11 terabait data elektronik dan 121 akaun bank berlainan yang dilihat bagi aktiviti yang meragukan.

OAG berkata pada Ogos lalu ia telah menerima 103 laporan aktiviti kewangan yang meragukan bagi penyiasatan.

Handeszeitung berkata bank-bank Switzerland telah melaporkan aktiviti meragukan sekitar 50 pelanggan dalam kes itu. – Reuters