Ramai terkandas di lapangan terbang

Ramai terkandas di lapangan terbang

TOKYO, 9 Ogos – Lebih 1,000 orang menghabiskan malam mereka di lapangan terbang Narita luar Tokyo akibat penutupan komputer yang menangguhkan penerbangan Delta Air Lines seluruh dunia.

Penerbangan itu disambung semula pagi hari ini di Narita, namun jurucakap Delta, Hiroko Okada berkata beberapa lagi penangguhan dijangka akan berlaku.

“Mimpi buruk,” kata penumpang warga Amerika, Jeff Quigley, yang dapat melelapkan mata selama dua jam di lapangan terbang itu selepas penerbangan petang Isnin ke Manila telah ditangguhkan sehingga pagi esoknya.

“Saya terbang empat hingga lapan kali sebulan, dan ini adalah perkara paling terburuk yang saya alami sejauh ini.”

Narita adalah hab Asia-Pasifik bagi Delta dan beberapa lagi penerbangan AS lain, oleh itu beberapa penerbangan tiba dari AS dan kemudian berlepas ke destinasi-destinasi ke negara Asia lain.

Penutupan itu, dicetuskan oleh putus bekalan elektrik di satu kemudahan Delta di AS, dengan ramai penumpang terkandas di Jepun. Enam penerbangan telah dibatalkan, menjejaskan 1,733 penumpang, kata Okada.

Sebanyak 15 penerbangan juga ditangguhkan. Penutupan itu berlaku petang Isnin, menyebabkan penangguhan berlaku sepanjang malam, memaksa lebih ramai yang mencari tempat untuk tidur.

Seorang jurucakap di lapangan terbang Narita, Katsuaki Tomimura, berkata lebih 1,000 bermalam di lobi ketibaan di lapangan terbang berkenaan.

Penerbangan yang dibatalkan itu merupakan dua ke Honolulu, dan masing-masing ke New York, Minneapolis, Los Angeles dan Atlanta. – AP

ARTIKEL YANG SAMA