Ramalan Einstein bakal jadi realiti

Ramalan Einstein bakal jadi realiti

WASHINGTON, 10 Feb – Pengesanan kali pertama gelombang graviti yang mungkin diumumkan oleh para ahli sains esok, akan membuka ruang pada alam semesta dan kebanyakan fenomena ganasnya.

Para ahli sains akan mengadakan sidang media esok untuk membincangkan perihal terbaru dalam usaha mereka memburu gelombang, yang kewujudannya telah diramalkan oleh Albert Einstein dalam teorinya kira-kira 100 tahun lalu, menurut satu kenyataan dari Yayasan Sains Kebangsaan yang membiayai penyelidikan itu.

Para ahli sains dari Institusi Teknologi California (Caltech), Institusi Teknologi Massachusetts (MIT) dan Cerapan Gelombang Graviti Interferometer Laser (LIGO) yang berusaha mengesan gelombang ini bertahun-tahun akan menyertainya.

Sidang media juga serentak diadakan di Pusat Kebangsaan Paris bagi Penyelidikan Sains (CNRS) dan juga di London.

Pengumuman sidang media menimbulkan semula desas desus yang tersebar dalam masyarakat saintifik selama berbulan-bulan bahawa pasukan LIGO mungkin secara langsung mengesan gelombang graviti buat pertama kali.

Gelombang yang pernah diramalkan oleh Albert Einstein 100 tahun lalu.
Gelombang yang pernah diramalkan oleh Albert Einstein 100 tahun lalu.

Gelombang ini terhasil daripada gangguan pada fabrik ruang dan masa apabila objek besar bergerak, seperti lubang gelap dan bintang neutron.

Einstein membuat teori bahawa ia muncul seperti kocakan dalam kolam yang terbentuk apabila batu dilontar ke dalam air, atau seperti jaring yang melentur di bawah bebanan berat objek diletakkan di dalamnya dengan jaring bertindak sebagai metafora bagi melentur ruangmasa.

Menurut khabar angin, pasukan itu mungkin telah memerhati pertembungan dua lubang gelap dan pelakurannya yang membawa kepada pengesanan gelombang graviti.

Majalah sains mengatakan Clifford Burgess, ahli fizik di Universiti McMaster di Kanada dan juga anggota Institusi Perimeter bagi Fizik Teori sebagai berkata dia menganggap berita angin itu boleh dipercayai, meskipun dia belum lagi melihat sebarang dokumentasi dari LIGO. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA