Ramalan Einstein menjadi nyata

Ramalan Einstein menjadi nyata

WASHINGTON, 12 Feb – Dalam satu penemuan bersejarah untuk fizik dan astronomi, ahli sains berkata semalam mereka berjaya melihat sepintas lalu bukti pertama gelombang graviti, riak dalam fabrik ruang masa yang diramalkan oleh Albert Einstein satu abad lalu.

Apabila dua lubang hitam (black hole) berlanggar kira-kira 1.3 bilion tahun lalu, gabungan dua jisim besar menyebabkan gegaran yang meluru menerusi ruang angkasa lepas dan sampai ke Bumi pada 14 September 2015, apabila ia dikesan oleh alat canggih, umum para penyelidik.

“Sehingga sekarang kami tidak dapat mendengar gelombang graviti, namun hari ini, kami boleh mendengarnya,” kata David Reitze, pengarah eksekutif Makmal LIGO, pada satu persidangan akhbar di ibu negara AS.

Reitze dan rakan sekerja membandingkan magnitud penemuan dengan penggunaan teleskop oleh Galileo empat abad lalu untuk membuka era astronomi moden.

“Saya fikir kami sedang melakukan sesuatu yang sama penting di sini hari ini. Saya fikir kami sedang membuka satu ruang di alam semesta,” kata Reitze.

Simulasi dua lubang hitam bertembung yang dikeluarkan di Washington. – Reuters
Simulasi dua lubang hitam bertembung yang dikeluarkan di Washington. – Reuters

Fenomena itu diperhatikan oleh dua pengesan bawah tanah di AS, bertujuan mengesan getaran kecil daripada gelombang graviti, satu projek yang dikenali sebagai Balai Cerap Gelombang Graviti Interferometer Laser, atau LIGO.

Ia mengambil ahli sains beberapa bulan untuk mengesahkan data mereka dan meletaknya menerusi satu proses kajian semula sebelum mengumumkannya semalam, menandakan kemuncak usaha selama beberapa dekad oleh kumpulan di seluruh dunia termasuk kira-kira 1,000 ahli sains dari 16 buah negara, menurut Yayasan Sains Nasional, yang membiayai penyelidikan tersebut.

Gelombang graviti adalah satu ukuran bebanan dalam ruang, satu kesan pergerakan jisim besar yang meregangkan fabrik ruang masa, satu cara untuk melihat ruang dan masa sebagai satu kontinum yang saling berjalin.

Mereka berjalan pada kelajuan cahaya dan tidak dapat dihentikan atau dihalang oleh apa-apa.

Sebagai sebahagian daripada teori relativiti am, Einstein berkata ruang masa boleh dibandingkan dengan satu jaring, melengkung di bawah bebanan satu objek. Apabila objek dengan jisim bergerak semakin cepat, seperti apabila dua lubang hitam berpilin di antara satu sama lain, mereka mengeluarkan gelombang graviti di sekeliling mereka pada kelajuan cahaya, seperti riak yang datang daripada batu kelikir yang dilontar ke dalam kolam. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA