Rampasan 282kg dadah ‘Ice’

Rampasan 282kg dadah ‘Ice’

BANGKOK, 30 Mac (Bernama) – Dua lagi lelaki Malaysia ditahan Polis Thailand semasa cuba menyeludup dadah ke Malaysia, menjadikan bilangan penyeludup dadah rakyat Malaysia yang ditangkap pihak berkuasa negara ini sejak minggu lepas ialah 23 orang.

Ketua Polis Thailand Jeneral Polis Chakhtip Chaijinda berkata dalam kejadian terbaharu, dua lelaki Malaysia berumur 59 dan 37 tahun itu ditahan bersama-sama dengan 282 kilogram (kg) ‘Ice’ di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao pada 5 petang semalam.

“Kedua-dua lelaki itu, yang menaiki kereta Nissan Cefiro dan Proton bernombor pendaftaran Thailand, ditahan di pusat pemeriksaan itu selepas menerima maklumat daripada polis Malaysia.

“Mereka masing-masing membawa 175 kilogram dan 107 kilogram dadah yang disorokkan di belakang kereta,”katanya kepada pemberita di Biro Pencegahan Narkotik Thailand di sini, hari ini.

Polis Thailad menunjukkan kedua-dua lelaki Malaysia itu pada sidang berita di sini, hari ini, yang turut dihadiri oleh Pengarah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Mokhtar Shariff. Minggu lepas, Polis Thailand menumpaskan satu sindiket besar dadah Malaysia selepas menahan 21 lelaki pada 23 dan 24 April di beberapa lokasi di seluruh negara ini dan merampas 226kg ‘Ice’ dan 8kg Heroin.

Pol-Jen Cakhtip Chaijinda (kanan) menunjukkan kepada media 282 kilogram dadah jenis “Ice” yang dirampas daripada dua rakyat Malaysia pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mokhtar Mohd Shariff (dua, kanan) kelmarin. – Bernama
Pol-Jen Cakhtip Chaijinda (kanan) menunjukkan kepada media 282 kilogram dadah jenis “Ice” yang dirampas daripada dua rakyat Malaysia pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mokhtar Mohd Shariff (dua, kanan) kelmarin. – Bernama

Chakhtip berkata tangkapan itu membawa kepada rampasan dadah terbesar oleh Polis Thailand sejak beberapa tahun lepas, dan beliau memuji anggotanya dan kerjasama erat Polis Malaysia di atas kejayaan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Thailand Jeneral Polis Pongsapat Pongcharoen berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan sama ada dadah yang dirampas daripada 23 rakyat Malaysia itu datangnya daripada kilang dadah sama di negara jiran.

“Kami akan menjalankan ujian makmal sama ada dadah itu datangnya dari kilang yang sama, yang hanya menumpukan kepada penghasilan ‘Ice’ tulen untuk pasaran. Kami mengesyaki ia sebuah kilang dadah yang besar,” katanya.

Beliau berkata kaedah pembungkusan dan logo dadah yang dirampas daripada kedua-dua kumpulan penyeludup Malaysia yang ditahan oleh Polis Thailand minggu lepas dan semalam juga agak sama.