Rampasan dadah AS$30 juta di Myanmar

Rampasan dadah AS$30 juta di Myanmar

YANGON, 6 Mac (AFP) – Polis di Myanmar merampas heroin dan methamphetamine bernilai lebih daripada AS$30 juta, beritahu seorang penyiasat kanan kepada AFP hari ini, satu rampasan yang memaparkan peranan berterusan negara sebagai pengeluar dadah global utama.

Myanmar terletak di tengah “Segi Tiga Emas,” yang juga merangkumi sebahagian daripada Thailand dan Laos, dan telah menjadi sarang pengeluaran narkotik berdekad-dekad lamanya meskipun janji kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut.

“Ia bernilai kira-kira 37 bilion kyats,” beritahu pegawai kanan polis skuad anti-dadah di Naypyidaw kepada AFP dengan syarat namanya tidak disiarkan. “Ia adalah rampasan terbeasar pada 2016.”

Polis menemui campuran narkotik dalam sebuah kenderaan kontena di zon perindustrian di Mandalay termasuk 82 kilogram methamphetamine, 24 kilogram heroin, 6.8 juta pil perangsang dan 15 kilogram candu. Pegawai berkata tersangka utama masih belum ditangkap.

Myanmar telah bergelut untuk membendung narkotik dari rantau sempadannya meskipun pembaharuan politik yang melihat parti pembangkang Aung San Suu Kyi memenangi pilihan raya bersejarah pada November.

Negara miskin itu masih merupakan pengeluar candu kedua terbesar di dunia selepas Afghanistan sementara kartel semakin banyak mengeluarkan pil methamphetamine. Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah berkata methamphetamine menguasai pasaran global untuk dadah sintetik dan sedang berkembang pesat di Asia Tenggara dan Timur.

“Ia menakutkan kerana penyeludupan dadah telah meningkat dan tersebar di seluruh negara,” beritahu penyiasat dadah di Naypyidaw kepada AFP. Pada Julai lalu, Myanmar telah merampas pil perangsang bernilai lebih daripada AS$100 juta daripada kenderaan kontena persendirian di utara Yangon.

ARTIKEL YANG SAMA