Rampasan terbesar RM114.5j di Kota Kinabalu

Rampasan terbesar RM114.5j di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU, 5 Okt – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di sini, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata rampasan itu dibuat daripada seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi awam itu, selepas mereka ditahan SPRM semalam.

“Hasil siasatan, SPRM merampas RM75 juta daripada pejabat, rumah dan akaun bank kedua-dua suspek tersebut dan keluarga mereka,” katanya pada sidang berita mengenai kes itu di sini, hari ini.

Beliau berkata selain wang tunai, SPRM juga merampas 127 geran tanah, sembilan kenderaan mewah, sebanyak 94 beg tangan jenama mewah, jam tangan mewah pelbagai jenama dan barang kemas yang kesemua nilainya belum diketahui.

Sebahagian wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM50 juta yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dirampas ketika sidang media kelmarin. - Bernama
Sebahagian wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM50 juta yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dirampas ketika sidang media kelmarin. – Bernama

Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, katanya SPRM turut menangkap seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan akauntannya yang disyaki mempunyai kaitan dengan mereka.

Beliau berkata penangkapan ‘Datuk’ dan akauntannya itu membolehkan SPRM menyita kira-kira RM37 juta daripada akaun sebuah syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan seorang daripada pegawai kanan agensi awam itu.

“Mereka juga dipercayai memonopoli kesemua projek itu dan diserahkan kepada adik-beradik mereka,” katanya sambil memberitahu suspek berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Azam berkata SPRM turut mengenal pasti beberapa individu lagi yang dipercayai bersubahat dengan kesemua suspek dan akan memanggil mereka untuk memberi keterangan tidak lama lagi. Menurutnya jika ada pihak yang enggan memberi kerjasama, SPRM boleh mengambil tindakan tegas terhadap mereka. – Bernama