Ramuan Halal Asia 2015 tingkatkan industri halal

Ramuan Halal Asia 2015 tingkatkan industri halal

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) – Halal Ingredients Asia 2015 (Ramuan Halal Asia), platform acara pertama Asia bagi industri makanan dan bahan penjagaan diri halal, dibuka pada Isnin.

Acara tiga hari itu merupakan tempat pertemuan dan pasaran terbaik rantau ini bagi penggiat industri dan profesional ramuan halal meningkatkan kepimpinan bagi memperluas pembangunan industri berkenaan.

Ketua Eksekutif Halal Development Corporation (HDC) Datuk Seri Jamil Bidin berkata acara itu memberi tumpuan kepada beberapa komponen bagi memberi perspektif dan peluang baharu secara menyeluruh menerusi persidangan, pameran dan rantaian perniagaan dengan perniagaan.

“Ia juga akan meningkatkan peluang untuk perdagangan dan pelaburan selain mendedahkan para penggiat ramuan halal kepada pembeli antarabangsa,” katanya kepada media di luar acara itu yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jamil berkata pengeluar, pengedar dan pembekal akan didedahkan dengan peluang kekayaan semasa berinteraksi pada acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid melihat produk berasaskan lada hitam ketika melawat pameran selepas merasmikan Ramuan Halal Asia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid melihat produk berasaskan lada hitam ketika melawat pameran selepas merasmikan Ramuan Halal Asia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Acara anjuran HDC bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menarik kira-kira 50 syarikat pengeluar ramuan yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan berkaitan industri halal.

Jamil berkata segmen persidangan pada acara itu menarik 30 pakar halal antarabangsa dan kira-kira 200 perwakilan dari seluruh dunia bertemu dan bersatu dalam menangani isu-isu bekalan dan permintaan ramuan halal.

“Sesi rantaian perniagaan dengan perniagaan dianjurkan untuk perwakilan dan peserta pameran bagi mewujudkan hubungan baharu dalam perniagaan serta meluaskan lagi perniagaan sedia ada,” katanya.

Ramuan halal membabitkan bahan mentah atau komoditi, ramuan atau komponen dalam bentuk barangan siap atau separa siap, diperbuat daripada sumber bersih yang disyaratkan Islam, yang disediakan sebagai barangan siap pengguna. Ia meliputi pengemulsi, perasa dan agen antikempal.