Ramuan utama ...

Ramuan utama ke arah produktiviti

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Penguatkuasaan undang-undang persaingan dapat menanamkan sifat urus tadbir yang baik, urus niaga yang adil dan jujur serta persaingan berdasarkan merit, sekali gus menjadi ramuan utama menuju ke arah produktiviti yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang sihat.

Timbalan Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Kewangan) di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin berkata demikian pada Majlis Penutup Bengkel Serantau ASEAN mengenai Praktis Persaingan Ekonomi di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, Bandar Seri Begawan yang bermula dari 7 hingga 9 Februari lalu.

Bengkel selama tiga hari yang diketuai oleh ahli ekonomi kanan dari Suruhan Jaya Pengguna dan Persaingan Australia (ACCC), Suruhanjaya Perdagangan New Zealand (NZCC) dan Suruhanjaya Persaingan Singapura (CCS) ini merupakan platform perkongsian pandangan mengenai konsep ekonomi di dalam larangan-larangan utama undang-undang persaingan termasuk kartel, penipuan bida, penyalahgunaan posisi dominan dan pergabungan anti-persaingan

Dalam bengkel anjuran Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri melalui Bahagian Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna dengan kerjasama ACCC, NZCC dan Sekretariat ASEAN dengan sokongan daripada ASEAN-Australia-New Zealand Free Trade Area (AANZFTA) Competition Law Implementation Program (CLIP) ini juga, para peserta diberikan pendedahkan kepada beberapa kes sebenar dan bertukar pandangan mengenai cabaran-cabaran utama dan pilihan bagi mengaplikasikan pemikiran ekonomi dalam siasatan persaingan.

Ahli ekonomi kanan dari ACCC berkongsi pengalaman menggunakan peralatan dan analisa ekonomi di dalam penyiasatan persaingan.
Ahli ekonomi kanan dari ACCC berkongsi pengalaman menggunakan peralatan dan analisa ekonomi di dalam penyiasatan persaingan.
Dr. Hajah May Fa’ezah semasa berucap pada majlis penutup bengkel tiga hari tersebut.
Dr. Hajah May Fa’ezah semasa berucap pada majlis penutup bengkel tiga hari tersebut.
Dr. Hajah May Fa’ezah menyampaikan sijil penyertaan kepada ahli ekonomi kanan CCS.
Dr. Hajah May Fa’ezah menyampaikan sijil penyertaan kepada ahli ekonomi kanan CCS.

Dalam pada itu, para peserta memperakui bahawa walaupun bengkel direka bagi undang-undang persaingan, konsep-konsep ekonomi dan pengajaran yang diperolehi sepanjang bengkel juga dapat diguna pakai dalam pelbagai bidang dasar. Beberapa peralatan ekonomi yang dibincangkan seperti model ekonomi, analisis data dan bukti ekonomi adalah dapat digunakan dalam menilai fungsi pasaran ekonomi.

Dr. Hajah May Fa’ezah semasa mengakhiri ucapan pada majlis penutup bengkel berharap agar bengkel ini dapat memberi manfaat dan menambah nilai kapasiti institusi domestik dalam membangunkan ‘pemikiran ekonomi’ dan para peserta dapat berkongsi pengajaran yang diperolehi daripada bengkel kepada agensi masing-masing.

Bengkel itu kelmarin diakhiri dengan penyampaian sijil oleh Dr. Hajah May Fa’ezah dan ahli ekonomi kanan dari ACCC, Jennifer Orr kepada 35 orang pegawai kanan daripada agensi-agensi kerajaan Negara Brunei Darussalam dan agensi-agensi persaingan serantau.

ARTIKEL YANG SAMA