Rancakkan industri pelancongan langkah bijak

Rancakkan industri pelancongan langkah bijak

KOTA KINABALU, 28 Jan – Langkah kerajaan merancakkan industri pelancongan merupakan langkah bijak untuk mengukuhkan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata pengecualian visa kepada pelancong dari China untuk melancong ke negara ini akan memudahkan lagi percutian pelancong dari negara itu ke Malaysia.

“Sabah adalah antara destinasi pilihan utama mereka. Langkah kerajaan ini amat dialu-alukan oleh industri pelancongan atas keyakinan ia akan menambah jumlah ketibaan pelancong China ke negara ini,” katanya kepada Bernama.

Semasa mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelancong dari China tidak perlu mendapatkan visa untuk melawat Malaysia mulai 1 Mac hingga 31 Dis tahun ini.

Najib berkata pengecualian visa untuk pelancong China itu akan tertakluk kepada syarat tertentu bagi tempoh kunjungan tidak melebihi 15 hari.

Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan akan memudahkan kemasukan pelancong asing dengan mempercepatkan pelaksanaan e-Visa melibatkan beberapa negara yang telah dikenal pasti.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa Malaysia ingin menarik lapan juta pelancong dari China setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang dengan kuasa berbelanja RM22.1 bilion, berbanding 1.3 juta pelancong dari negara itu yang melawat Malaysia setiap tahun. – Bernama