Rancang bina menara pemancar telekomunikasi

Rancang bina menara pemancar telekomunikasi

SIBU, 29 April – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan membuat perancangan menyeluruh bagi pembinaan menara pemancar telekomunikasi di sepanjang Lebuh raya Pan Borneo.

Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pembinaan lebuh raya itu, yang merupakan suatu projek mega oleh kerajaan akan menjana kegiatan ekonomi di laluan tersebut.

“Kita di peringkat kementerian akan membuat perancangan menyeluruh tentang pembinaan menara (pemancar telekomunikasi) untuk memastikan kawasan di sekitar lebuh raya itu akan menikmati kemudahan Internet seperti di kawasan-kawasan bandar,” katanya.

Kementerian belum dapat menganggar berapa banyak menara yang akan dibina kerana projek lebuh raya itu masih di peringkat permulaan, katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kubu, Skim Penempatan Semula Nanga Tada, Kanowit, hari ini.

Kawasan berkenaan berada di bawah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah.

Salleh berkata beliau telah membuat lawatan ke beberapa tempat di negeri ini, dan mendengar rungutan daripada rakyat mengenai masalah Internet.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk melihat dan mengenal pasti kaedah bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan rakyat itu.

Sepertimana di tempat-tempat lain, Salleh berkata lawatannya ke Rumah Kubu hari ini ialah untuk menerangkan dasar-dasar kerajaan pusat dan negeri serta inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini bagi mengelak kekeliruan terhadap rakyat berikutan dakyah-dakyah yang disebarkan pihak tertentu yang bermatlamatkan politik sahaja.

“Sedangkan kita sebagai kerajaan bertanggungjawab berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan negara kita aman damai bagi membolehkan kita memberi perhatian kepada usaha pembangunan, bukan sahaja di Semenanjung tetapi di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru agar rakyat Sarawak terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) agar kerajaan negeri yang dibentuk kelak, dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan dalam agenda pembangunan.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Salleh meminta masyarakat kawasan itu agar tidak mensia-siakan undi mereka dengan memilih calon Bebas dan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini.

Ini kerana calon Bebas itu tidak akan diterima untuk menjadi anggota BN dan tidak akan mempunyai peruntukan untuk membawa pembangunan kepada rakyat, katanya.

“Pembangkang iaitu DAP dan PKR pula tidak sepakat di antara satu sama lain dan bersaing sesama sendiri untuk merebut kerusi DUN Ngemah,” katanya.

Penyandang kerusi itu, Alexander Vincent dari BN, ditentang oleh Thomas Laja dari PKR, Richard Lias (DAP) dan calon Bebas Dr Joseph Jawa Kendawang pada PRN kali ini. – Bernama