Rancang kehidupan selepas bersara

Rancang kehidupan selepas bersara

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Janggal rasanya, setelah lama bekerja kini hanya berada di rumah dan melakukan beberapa aktiviti harian yang lainnya selepas bersara.

“Namun saya bersyukur atas pelbagai kenangan dan pengalaman manis yang dilalui selama berkhidmat sebagai seorang tukang masak di Pusat Latihan Polis Gadong antaranya ketika membuat persiapan memasak di bulan puasa dalam penyediaan makan sahur para polis,” ujar Dayang Saudah binti Haji Ahim yang merupakan bekas tukang masak di Pusat Latihan Polis Gadong.

Beliau adalah salah seorang daripada pesara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya yang diraikan pada majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, di sini, petang tadi.

Menurutnya, sebagai seorang tukang masak beliau juga mempelajari sesuatu yang baru setiap hari terutama dalam bidang masakan.

“Bermula dengan tidak begitu pandai memasak sehingga mahir memasak,” ujarnya kepada Media Permata mengenai pengalamannya sepanjang bertugas selama bertahun-tahun.

Menceritakan mengenai kehidupan selepas bersara, beliau berkata, anak-anaknya yang sentiasa membawa berjalan-jalan makan angin jika ada masa terluang juga memberikan beliau perancangan untuk membuat perniagaan kecil-kecilan agar tidak merasa bosan di rumah.

Dayang Saudah ketika ditemubual media.
Dayang Saudah ketika ditemubual media.
Haji Othman ketika ditemubual media.
Haji Othman ketika ditemubual media.

Seorang lagi pesara yang ditemui, Haji Othman bin Haji Aliassan pula melahirkan rasa kegembiraan bersara setelah berkhidmat sebagai seorang kerani di Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) selama 37 tahun sejak 1 November 1977.

“Namun pada masa yang sama juga saya merasa sedih meninggalkan rakan-rakan sekerja yang hari-hari ditemui ketika bertugas dulu walaupun boleh bersua lagi tetapi tidak akan sama ketika perjumpaan hari-hari ketika bertugas,” ujarnya.

Ditanya mengenai apa yang dilakukan setelah bersara, beliau yang sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti-aktiviti sejak bertugas di RTB lagi berkata, beliau kini bertambah aktif dengan mengikuti persatuan-persatuan untuk mengisi masa yang banyak terluang itu.

“Kini saya mengikuti beberapa persatuan seperti Olimpik Brunei Darussalam Istimewa (SOBD), Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan (PEKEBAR), Persatuan Kakitangan Kerajaan (PEKIRA) dan menjadi ahli jawatankuasa kampung-kampung dan banyak lagi. Di sini saya biasanya akan membantu mengendalikan aktiviti-aktiviti untuk dijalankan,” jelasnya yang memulakan perkhidmatannya sebagai pelayan pejabat di Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Katanya lagi, semasa berkhidmat pun beliau juga mengendalikan dan menganjurkan beberapa aktiviti sukan di jabatan beliau antaranya mengikuti pertandingan-pertandingan atau menganjurkan rombongan lawatan keluar negara.

Beliau juga menceritakan beberapa pengalaman manis sepanjang berkhidmat yang antaranya ketika menjadi pegawai perhubungan di acara-acara besar seperti APEC dan banyak lagi.

“Selain itu, bertugas ketika projek-projek pertukaran rancangan MoU juga antara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan terutama sekali berada di luar negara dan seterusnya berpeluang untuk bertugas bersama orang di luar negara.”

Menurutnya lagi, setiap tahun semasa sambutan Hari Kebangsaan, beliau akan dilantik selaku jawatankuasa perbarisan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Haji Othman melahirkan penghargaan dan terima kasihnya yang tidak terhingga atas penghargaan dan diraikan pada majlis berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA