Rancang kerjasama koperasi pelancongan Islam

Rancang kerjasama koperasi pelancongan Islam

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Jabatan Kemajuan Industri Brunei (BINA) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) sedang meninjau peluang untuk mewujudkan usaha sama ekonomi oleh kalangan pertubuhan koperasi kedua-dua negara.

Antara yang telah dibincangkan bersama dan dipersetujui secara dasarnya ialah kerjasama untuk menerokai industri pengeluaran dengan mengadakan tempat pemprosesan dan pengeluaran produk di tapak-tapak perindustrian di negara ini manakala Malaysia akan membekalkan bahan mentah yang diperlukan.

Turut diberikan perhatian ialah cadangan untuk mewujudkan kerjasama koperasi pelancongan Islam yang semakin meningkat permintaan di kalangan rakyat kedua-dua negara.

Haji Metassan (kanan) menyampaikan ucapan alu-aluan sambil di sebelahnya Dato Haji Abdul Fattah.
Haji Metassan (kanan) menyampaikan ucapan alu-aluan sambil di sebelahnya Dato Haji Abdul Fattah.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah BINA, Haji Metassan bin Haji Abdul Salim, selaku Pendaftar Koperasi-koperasi Negara Brunei Darussalam pada persidangan media bersama Presiden ANGKASA, Dato Haji Abdul Fattah bin Haji Abdullah selepas Kunjungan Muhibah ANGKASA dan BINA yang berlangsung di Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Berakas hari ini.

Dato Haji Abdul Fattah berada di negara ini bagi mengetuai delegasi 20 pemimpin koperasi Malaysia yang turut mengadakan sesi pemadanan perniagaan antara pemimpin koperasi Malaysia dan kira-kira 30 pemimpin koperasi tempatan.

Ditanya mengenai penggunaan tenaga kerja yang sekiranya kerjasama itu direalisasikan, Haji Metassan berkata, bergantung pada jenis dan bentuk produk pengeluaran yang diusahakan kebanyakan industri yang terdapat di negara ini memang telah lama wujud di Malaysia.

“Apa yang kita harapkan daripada kerjasama ini ialah pihak koperasi Malaysia dapat membekalkan bahan mentah manakala koperasi Brunei akan memastikan kualiti produk yang dikeluarkan itu tinggi dan menepati piawaian dan permintaan pasaran.

“Apa yang dicadangkan ialah supaya ANGKASA dapat membekalkan tenaga kepakaran dari Malaysia bagi memastikan kawalan mutu dan strategi pemasaran,” katanya.

Menyentuh mengenai tenaga pakar, beliau menjelaskan bagi bidang tertentu pengeluaran produk, negara ini masih lagi memerlukan bantuan tenaga pakar dari luar negara, tetapi kerja pemprosesan dan operasi pengeluaran dapat diisikan oleh tenaga kerja tempatan yang juga diperlukan.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai penubuhan koperasi pelancongan Islam dan umrah Dato Haji Abdul Fattah menjelaskan di rantau Nusantara setiap tahun jumlah mereka yang menunaikan umrah adalah besar dengan jemaah umrah Malaysia mencecah 200,000 orang setiap tahun.

“Kami lihat melalui kerjasama ini kami harap dapat menubuhkan satu syarikat koperasi yang bertanggungjawab mengendalikan kesemuanya urusan dan operasi bakal jemaah, kerana apa yang berlaku pada masa ini ialah koperasi hanya bertanggungjawab mencari bakal jemaah dan pengendaliannya diserahkan kepada syarikat persendirian,” katanya

Menurutnya, apa yang diinginkan ialah syarikat koperasi mengendali umrah yang lengkap dan mengendalikan daripada pengangkutan hingga kepada ejen pengendalian dan urusan rasmi dengan negara yang dilawati.

Pada pertemuan itu juga ANGKASA mempelawa syarikat koperasi untuk menyertai Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi Malaysia (MACCOPS) yang dijadualkan berlangsung mulai 12 hingga 14 Disember 2015.

ARTIKEL YANG SAMA