Rancang naik status Lapangan Terbang Miri

Rancang naik status Lapangan Terbang Miri

MIRI, 22 April – Kementerian Pengangkutan merancang menaik taraf Lapangan Terbang Miri kepada status antarabangsa.

Ini berikutan peningkatan dalam jumlah penumpang dan penerbangan antarabangsa menggunakan kemudahan berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, buat permulaannya, kementerian itu akan memperbesar Lapangan Terbang Miri untuk mengendali empat juta penumpang setahun dengan kos kira-kira RM285 juta.

“Cadangan projek itu masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan jika diluluskan, ia akan dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan pembukaan apron yang diperbesarkan dan laluan pejalan kaki berbumbung bernilai RM68 juta di Lapangan Terbang Miri yang siap pada Februari lepas.

Liow berkata, Lapangan Terbang Miri direka bentuk untuk mengendali dua juta penumpang, tetapi tahun lepas ia melepasi kapasiti itu dengan 2.3 juta menggunakannya.

“Menaikkan status Lapangan Terbang Miri kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Miri bukanlah satu masalah kerana ia mempunyai pelbagai kemudahan diperlukan seperti kaunter imigresen dan penerbangan dari Singapura,” tambahnya.

Menurutnya, kemudahan utama yang perlu penambahbaikan ialah ruang perlepasan dan ketibaan yang berasingan yang belum dimiliki lapangan berkenaan.

Liow berkata, kementerian perlu menangani cadangan pembesaran itu dengan segera kerana lapangan terbang itu juga digunakan sebagai hab untuk Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis berkenaan, beliau berkata, kerajaan telah bersetuju menaikkan subsidi untuk RAS daripada RM160 juta kepada RM190 juta setahun mulai 2018.

Menurutnya, Maswings Sdn Bhd kini mengendalikan lebih 500 penerbangan seminggu ke 49 desinasi RAS. – Bernama