Rancang percutian bersama Hotel Garden Sentral

Rancang percutian bersama Hotel Garden Sentral

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 6 Sept – Musim cuti persekolahan penggal kedua hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, dan ramai ibu bapa sudah mula merancang acara-acara riadah bersama anak-anak baik di dalam negara ataupun sebaliknya.

Bagi penduduk di Daerah Belait yang masih belum mempunyai rancangan dan masih mencari tempat-tempat yang sesuai untuk membawa anak-anak, Pusat Membeli-belah, KBSentral akan menyediakan acara-acara menarik kepada pengunjungnya sepanjang musim cuti ini nanti.

Aktiviti-aktiviti percutian yang sudah diatur oleh Bahagian Pengurusan Acara dan Hotel Garden Sentral akan bermula pada 9 sehingga 18 September ini diadakan di ruang atrium pusat membeli-belah itu.

Antara aktiviti tersebut termasuklah Pertandingan Vanguard, yang dijangka akan berlangsung di aras pertama pusat membeli-belah itu, selain acara PLINKO Game, permainan menembak, arked bola keranjang, sudut kreatif dan perbarisan maskot dan tidak kurang juga dijangka akan diadakan perjumpaan dan jamuan makan bagi penggemar-penggemar Pokemon Go yang akan diadakan pada 16 September nanti dari pukul 4 hingga 6 petang.

Pihak penganjur juga memaklumkan bahawa pendaftaran bagi acara Pokemon Go itu amat terhad kepada 20 orang sahaja, oleh itu pendaftarannya adalah berdasarkan yang dahulu didahulukan.

Di samping itu, pada 16 hingga 18 September, acara akan lebih meriah dengan pameran binatang oleh KB Reptiles dan pameran burung Kakak Tua oleh Parrot Kingdom serta Tandem Bikes di mana pengunjung boleh berseronok dan bergembira menunggang basikal mengelilingi kawasan KBSentral.

Semua acara-acara ini akan diadakan di kawasan letak kereta pusat beli-belah itu.

Orang ramai juga akan boleh mendapatkan tawaran istimewa menerusi Jualan Istimewa Jaya Hypermart sepanjang acara-acara berkenaan diadakan, dan semua itu dilakukan antara lain bertujuan untuk menyediakan hiburan kepada para pengunjung terutama kepada kanak-kanak semasa cuti sekolah, selain untuk menggalakkan orang ramai untuk berbelanja di negara sendiri di musim cuti ini.

ARTIKEL YANG SAMA