Rancang sambutan perayaan 2016

Rancang sambutan perayaan 2016

Oleh Anwar Rosly

 

BELAIT, 23 Mac – Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun Bagi Daerah Belait Tahun 2016 telah diadakan di Dewan Santap, Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait, hari ini.

Hadir untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman. Hadir sama ialah ketua-ketua jabatan cawangan Daerah Belait, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan bagi Daerah Belait Tahun 2016 yang lain.

Pada mesyuarat tersebut, ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-69 Tahun dibubarkan dan melantik Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 Tahun Bagi Daerah Belait Tahun 2016 yang baru.

Antara agenda mesyuarat yang dibincangkan termasuk meneliti dan mengesahkan penyata perbelanjaan sambutan perayaan tahun 2015, ketetapan perlaksanaan perayaan acara-acara sambutan serta ketetapan perlaksanaan pembinaan dan pemasangan alat-alat perhiasan dan kelengkapan seperti pintu-pintu gerbang, bendera, lampu-lampu cucul, perhiasan dan kain rentang.

Antara yang mengikuti mesyuarat tersebut.
Antara yang mengikuti mesyuarat tersebut.

Pada mesyuarat itu juga dibincangkan pelaksanaan Majlis Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bercemar Duli ke Daerah Belait.

Di samping itu, mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan acara-acara sambutan perayaan seperti Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam Majlis Doa Kesyukuran dan Majlis Khatam Al-Quran 70 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di seluruh negara.

Turut dibincangkan adalah acara-acara sampingan sepanjang perayaan dan acara persembahan malam bercorak kebudayaan dan keagamaan termasuk kedudukan pentas dan gerai perayaan.

ARTIKEL YANG SAMA