Rancang samun diri sendiri

Rancang samun diri sendiri

GEORGE TOWN, 15 Ogos – Seorang pekerja pengurup wang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam rancangan menyamun dirinya sendiri melibatkan wang tunai RM200,000 Khamis lepas.

Dia ditahan bersama tujuh individu lain dalam beberapa operasi pihak polis di sekitar negeri ini sejak Sabtu lalu hingga semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata pekerja berkenaan melaporkan dia membawa wang tunai RM200,000 untuk dimasukkan ke dalam sebuah bank, namun disamun dua lelaki bersenjatakan parang ketika dia menunggang motosikal dalam perjalanan ke bank, di persimpangan Lebuh Cina di sini.

Beliau berkata susulan laporan itu, satu pasukan siasatan ditubuhkan dan berjaya menahan lapan individu yang antaranya bekerja sebagai pemandu teksi, mekanik dan penghantar barang.

“Namun berdasarkan siasatan seterusnya, pekerja itu didapati telah merancang bersama rakannya kes samun itu dengan mengupah dua individu untuk menyamunnya dan wang yang disamun itu disembunyikan pula oleh beberapa individu lain.

“Pihak polis menemui semula wang tunai itu sebanyak RM150,000 dan sedang menyiasat di mana baki wang yang belum ditemui,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA