Rancang strategi tindakan kompetitif

Rancang strategi tindakan kompetitif

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Jawatankuasa Pelaburan Langsung Asing dan Hiliran telah dan sedang merancang dan meneliti strategi dan pelan tindakan yang kompetitif termasuk menyediakan infrastruktur tapak tanah perindustrian yang boleh digunakan untuk membina kilang-kilang serta tempat perusahaan secepat mungkin.

Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar (gambar) berkata, setakat ini tidak ada kedengaran sebarang rungutan atau aduan daripada pihak pelabur asing mengenai dengan isu kemudahan tapak tanah bagi perindustrian.

“Di samping itu, pihak pelabur asing tidak menghadapi jua masalah untuk memperoleh kemudahan perumahan atau tempat kediaman pada kadar yang sangat kompetitif dan berpatutan di negara ini.

“Bagi pelabur yang membawa ahli keluarga ke negara ini, mereka telah menikmati alam sekitar yang sangat berkualiti, aman dan selamat serta pelbagai kemudahan yang bertaraf antarabangsa seperti institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah antarabangsa yang telah mendapat pujian dan pengiktirafan antarabangsa.”

pg04_160323_bYang Berhormat Pehin menyatakan perkara ini ketika mengulas mengenai persolan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin berhubung isu pelaburan langsung asing (FDI) pada Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang pada hari ke-13, hari ini.

Menurutnya, negara juga sudah melihat semakin banyak pelabur asing yang telah melabur dan memulakan perusahaan mereka di Negara Brunei Darussalam di antaranya ialah Simpor Pharma, CAE MPTC Brunei Sdn Bhd, Gold Coin, Brunei Methanol Company Sdn Bhd dan Golden Corporation Sdn Bhd.

Di samping itu, jelas Yang Berhormat Pehin, dengan kewujudan Pusat Sokongan Perniagaan (Business Support Centre, BSC) di bawah Darussalam Enterprise (DARe), pusat itu akan dapat menampung dan mendukung syarikat-syarikat pelabur asing serta seterusnya memudah cara pelaburan dan menjalankan perniagaan di Brunei.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat memberi peluang bagi BSC untuk beroperasi dengan sepenuhnya bermula April nanti kerana beliau yakin ia akan mendapatkan impak yang positif dan bermakna bagi penarikan pelaburan langsung asing dan memudah cara perniagaan di Brunei.

Menyentuh mengenai dengan DARe yang baru ditubuhkan, Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin menyeru semua pihak untuk memberikan sokongan penuh organisasi itu di mana kerja-kerja penelitian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) secara holistik baru sahaja dilaksanakan.

“DARe setentunya akan berusaha sepenuhnya untuk menyediakan persekitaran yang pro bisnes dan kondusif serta membangunkan MSME tempatan untuk menembusi pasaran luar.”

Beliau juga berharap orang ramai akan memberi masa bagi DARe untuk membuat perubahan pengurusan dalaman dan kerjasama dengan pihak-pihak yang berkenaan supaya ia akan dapat mencapai matlamatnya.

“Kesemua ahli Lembaga DARe berazam untuk membuat perubahan yang memberi impak pada sektor perniagaan di negara ini di mana mereka sendiri telah memulakan kerja-kerja turun padang untuk melibatkan usahawan-usahawan tempatan.”

Beliau berharap inisiatif itu akan dikembangkan ke semua daerah bagi melibatkan orang ramai.

DARe perlu dilihat bukan saja dari segi keindahan nama saja tetapi sebagai sebuah organisasi yang akan dapat menggerakkan dan memperkasakan sektor perniagaan, tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA