Rancangan penggabungan diteliti

Rancangan penggabungan diteliti

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Pada masa ini belum ada rancangan untuk menggabungkan Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan dan Pusat Pembangunan Kanak-kanak, Kementerian Kesihatan, kerana kerjasama yang ada sekarang berjalan dengan baik.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman berkata, mereka tidak menolak kemungkinan kedua-dua unit berkenaan untuk meneliti peranan masing-masing bagaimana meningkatkan lagi perkhidmatan pemedulian kanak-kanak dan pelajar-pelajar berkeperluan khas menjadi tanggungjawab bersama.

Yang Berhormat Pehin menekankan perkara ini ketika mengulas cadangan untuk menggabungkan kedua-dua unit berkenaan menjadi sebuah pusat didikan yang berkemahiran tinggi untuk anak-anak istimewa yang berkeperluan khas dan ditempatkan dalam sebuah bangunan moden, yang diutarakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Haji Zainal semasa permesyuaratan hari ketujuh Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

Turut mengulas mengenai persoalan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi (gambar) menyambut baik cadangan itu, yang menurutnya, niat atau hasrat untuk menempatkan kanak-kanak berkenan dalam sebuah bangunan khas memanglah baik semata-mata demi menjaga hal ehwal kebajikan mereka.

pg05_160315_a

pg01_160315_MMN_Logo

“Oleh itu cadangan akan diteliti dengan mengambil kira berbagai sudut termasuklah kesan dan impak kepada kanak-kanak berkeperluan khas yang berkenaan, umpamanya apakah kesan stigma oleh masyarakat akan timbul terhadap kanak-kanak ini jika mereka diasingkan atau disaggregate dan menyebabkan kanak-kanak tersebut berasa tersingkir walhal mereka juga adalah sebahagian daripada masyarakat lebih-lebih lagi dengan adanya dasar pendidikan inklusif yang ada di negara ini maka perlulah diteliti dengan lebih mendalam,” jelasnya.

Beliau menambah, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pelbagai disiplin yang lain dan juga para penjaga dan ibu bapa juga sedang meneliti semula perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan pada masa ini bagi kanak-kanak berkeperluan khas berkenaan, sejajar dengan fokus utama kementerian iaitu untuk memantapkan lagi kualiti pemberian perkhidmatan antaranya melalui penyatuan perkhidmatan kemudahan serta infrastruktur yang sedia ada.

Bagi Pusat Pembangunan Kanak-kanak khususnya, beliau berkata, kementerian telah meneliti pengintegrasian dengan penyerapan perkhidmatannya ke Pusat Perempuan dan Kanak-kanak di Hospital RIPAS.

Menurutnya, pusat baru ini mempunyai prasarana yang lebih sesuai dan kondusif terutama bagi kanak-kanak sama ada yang berkeperluan khas atau tidak.

Setentunya, mereka yang berkeperluan khas ini juga berhak menikmati kemudahan-kemudahan yang diberikan di pusat yang baru ini seperti kanak-kanak yang lain.

Penyerapan ini, tambahnya lagi, akan memberikan nilai tambah dan penyediaan penjagaan kesihatan yang lebih optimal, iaitu kaedah pusat sehenti bagi memastikan pelanggan akan terus menerima perkhidmatan terbaik dan pada masa yang sama hasil klinikal yang positif.

ARTIKEL YANG SAMA