Rangka tindakan pengurusan dana Islam dilancar tahun ini

Rangka tindakan pengurusan dana Islam dilancar tahun ini

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) – Rangka tindakan pengurusan dana dan kekayaan Islam akan dilancarkan pada tahun ini untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat antarabangsa pasaran modal Islam (ICM), kata Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Rangka tindakan tersebut, yang disediakan SC, akan menetapkan hala tuju strategik jangka sederhana dan panjang untuk industri pasaran modal Islam serta merangka strategi dan saranan untuk mengukuhkan daya saing negara.

Dalam laporan tahun 2015 yang dikeluarkan hari ini, SC berkata strategi tersebut dijangka dapat menyokong kemampanan industri dan antara lain, memperkukuh keupayaan global pengantara pasaran domestik, meluaskan kesalinghubungan antarabangsa dan memanfaatkan peluang pasaran baru.

Sebagai sebahagian daripada perumusan rangka tindakan tersebut, penilaian mendalam mengenai perkembangan industri di peringkat domestik dan global serta pembabitan intensif bersama pihak berkepentingan utama tempatan dan global yang berkaitan juga dilaksanakan.

Saiz pasaran modal Islam Malaysia telah berkembang lebih daripada tiga kali ganda antara 2005 dan 2015, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 11.7 peratus.

Pasaran telah mencecah RM1.69 trilion menjelang penghujung 2015, mewakili 60 peratus daripada keseluruhan pasaran modal Malaysia.

Malaysia terus menerajui pasaran global sukuk, menguasai 54.3 peratus daripada sukuk global belum tebus pada akhir 2015, katanya.

Dalam pada itu, SC berkata, aset di bawah pengurusan industri pengurusan dana Islam kekal sebagai yang kedua terbesar di dunia pada akhir 2015.

Malaysia juga mengungguli senarai global dengan bilangan dana Islam terbanyak mengikut domisil.

Sehubungan ini, katanya Malaysia telah mengekalkan asasnya yang kukuh untuk terus mencapai aspirasinya untuk mengembangkan pangkalan antarabangsanya dan meraih peluang pertumbuhan baru dalam pasaran modal Islam.

Menurut laporan itu, pada 2015, SC telah meluluskan dan menerima serahan 50 terbitan Sekuriti Hutang Swasta (PDS) berjumlah RM118.46 bilion, dengan 25 terbitan adalah sukuk bernilai RM48.33 bilion.

Nilai sukuk mewakili 40.80 peratus daripada jumlah PDS terbitan baharu yang diluluskan, katanya.

Tahun lepas, terbitan sukuk korporat mewakili 66.67 peratus berbanding 76.08 peratus pada 2014 daripada jumlah penerbitan PDS manakala sukuk korporat belum tebus merangkumi 71.65 peratus daripada 70.43 peratus pada tahun sebelumnya daripada jumlah PDS belum tebus.

ARTIKEL YANG SAMA