Rangka visi komprehensif AEC

Rangka visi komprehensif AEC

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) – Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-47 yang bermula Sabtu, berlangsung pada masa yang sangat genting dan penting.

Mesyuarat berlangsung bukan sekadar untuk memberikan sentuhan terakhir kepada penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), bahkan turut merangka visi komprehensif untuk AEC pasca 2015.

Mesyuarat tiga hari yang dipengerusikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed itu antara lain akan membincangkan pelaksanaan langkah-langkah penubuhan AEC, terutama penyelesaian komitmen yang dipersetujui dalam Pelan Tindakan AEC 2015.

Mesyuarat juga dijangka membincangkan tugas memajukan Visi Ekonomi ASEAN Pasca 2015 dan pelan tindakan strategik untuk tempoh 10 tahun akan datang, selain pembangunan Pelan Induk PKS ASEAN 2016-2025. Ketika perkumpulan serantau itu semakin menghampiri pembentukan AEC, ia secara beransur-ansur berjaya memansuhkan halangan dagangan seperti halangan bukan tarif (NTB), yang merupakan penghalang utama ke arah merealisasikan AEC.

Dalam mengukuhkan persekitaran yang memudahkan perniagaan, ASEAN telah menyediakan struktur perundangan ke atas persaingan dan perlindungan pengguna serta hak harta intelek.

Namun, AEC memerlukan banyak lagi penambahbaikkan bagi memenuhi tuntutan dan cabaran dalam tempoh 10 tahun akan datang, sekali gus ASEAN perlu sentiasa berinovasi dan mengukuhkan dirinya dalam memastikan rantau ini terus kompetitif di peringkat global.

Setelah berkembang pesat bersama-sama selama hampir 50 tahun, negara anggota ASEAN telah menunjukkan pragmatisme dan keyakinan terhadap manfaat daripada ekonomi AEC.

Berdasarkan kemajuan penting yang dicapai dalam keempat-empat tunggak AEC – satu pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran, wilayah ekonomi yang berdaya saing, pembangunan ekonomi yang saksama dan berintegrasi dengan ekonomi global, ASEAN mampu menjadi lokasi pelaburan ideal dengan persekitaran pelaburan yang paling kondusif di dunia.

Rantau ini sebagai satu unit, sangat penting dari segi ekonomi, dan merupakan antara rantau yang mencatat kadar pertumbuhan terpantas di dunia, diperkukuh oleh lokasinya yang strategik antara koridor perdagangan utama.

Inilah sebabnya mengapa anggota ASEAN mempunyai aturan perjanjian bertindih dengan lain-lain perjanjian pelbagai hala, antara lain dengan Kesatuan Eropah, Wilayah Perkongsian Ekonomi Komprehensif (RCEP) dan empat daripada negara anggotanya terlibat dalam cadangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik.