Rangsang kejayaan PKS tempatan

Rangsang kejayaan PKS tempatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Dengan keadaan yang melanda ekonomi global pada masa ini serta ketidaktentuan harga minyak dan gas, kerajaan meletakkan kepentingan untuk mencapai matlamat-matlamat yang digariskan dalam sasaran Wawasan 2035 iaitu untuk mempelbagaikan dan meningkatkan lagi sumbangan daripada perusahaan komersial untuk memacu ekonomi negara serta sebagai satu kaedah untuk menjana pekerjaan yang bermakna dan berasaskan ilmu pengetahuan bagi semua rakyat Brunei.

Dalam hubungan itu, kerajaan memberikan penekanan dan kepentingan bagi kejayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan supaya ia mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi mapan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Katanya, bagi mencapai matlamat itu, sebuah badan PKS kebangsaan, Darussalam Enterprise (DARE) telah ditubuhkan pada awal 2016 untuk menerajui dan merangka strategi yang holistik serta bersepadu untuk memudahkan dan memandu pertumbuhan PKS tempatan supaya mereka mampu memainkan peranan penting dalam inisiatif ekonomi Negara.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Leading Business in Asia yang berlangsung di Hotel Raddisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Menurut Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew, usaha untuk menjalinkan rangkaian hubungan yang kukuh di antara rakan-rakan luar negara dan PKS tempatan akan terus menyediakan peluang bagi kerjasama bukan sahaja dalam rangkaian pengedaran tempatan tetapi mengembangkan lagi asas pasaran mereka ke dalam rangkaian yang lebih luas di luar negara.

Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan.
Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan.

Dengan liberalisasi pasaran, penglibatan aktif dalam perjanjian perdagangan pelbagai hala bagi membolehkan akses yang lebih mudah kepada rakan kongsi pasaran yang baru serta memaksimumkan peluang bagi perniagaan tempatan untuk meraih manfaat daripada pasaran luar negara yang lebih besar, akan membuka lebih banyak peluang bagi aliran masuk pelaburan langsung asing dan kegiatan eksport negara.

Oleh itu, menyediakan ekosistem perniagaan yang kondusif merupakan kunci sebenar bagi pertumbuhan PKS tempatan, tegasnya.

Beliau juga berkata, kerjasama dengan DARE akan membolehkan negara untuk menjana iklim yang membolehkan PKS tempatan mendapatkan akses kepada pembiayaan, akses kepada pasaran yang lebih luas, akses kepada ruang industri serta akses bagi program-program pembangunan yang efektif untuk meningkatkan lagi keupayaan, kapasiti dan kompetensi PKS tempatan.

“Kita akan terus memperbaiki hala tuju dasar, peraturan dan proses untuk memastikan bahawa kita terus relevan dan bersedia untuk menangi keperluan mereka.”

Beliau berkata, pihak kerajaan akan terus berusah untuk menjana sebuah budaya di mana akan membolehkan PKS tempatan untuk terus berkembang dan maju dengan kepimpinan dan semangat keusahawanan.

Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew seterusnya berkata bahawa Darussalam Assets (DA) merupakan satu contoh utama yang menunjukkan komitmen kerajaan untuk menjana perubahan khususnya di kalangan syarikat-syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLCs).

Beliau menjelaskan bahawa DA merupakan sebuah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan pada 2012 yang ditubuhkan khusus untuk memiliki dan membimbing prestasi GLCs.

Beliau berkata bahawa dalam tempoh hanya beberapa tahun, DA telah mengambil alih milik bagi sebahagian besar GLCs yang terlibat dalam sektor-sektor ekonomi negara utama termasuk penerbangan, penjanaan kuasa, telekomunikasi mudah alih dan tetap, logistik, makanan, percutian dan rekreasi.

“Sebagai pemegang saham, DA sedang berusaha secara aktif di belakang tabir, bersama dengan lembaga anak syarikat dan kumpulan pengurusan bagi penstrukturan semula dan memberi nafas baru kepada operasi mereka serta untuk melalui transformasi organisasi dan budaya utama bagi membolehkan GLCs berkenaan untuk berubah kepada perusahaan-perusahaan yang dijalankan secara komersial.”

Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew menyatakan harapan supaya usaha yang telah dilaksanakan di peringkat PKS dan GLCs serta usaha-usaha yang bakal dilaksanakan akan menyediakan langkah ke hadapan yang signifikan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mapan.

“Kita akan terus bekerjasama untuk melaksanakan pelbagai inisiatif-inisiatif baru untuk menangani isu-isu utama dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh PKS kita dalam persekitaran kompetitif masa ini.”

ARTIKEL YANG SAMA