Ranieri berang gelagat N’Golo

Ranieri berang gelagat N’Golo

pg20_160716_b

STEGERSBACH, Austria, 15 Julai – Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri (gambar) mendesak pemain tengah Perancis, N’Golo Kante untuk memutuskan segera mengenai masa depannya ketika juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sedang mengatur peranca-ngan bagi mempertahankan kejuaraan mereka.

Masa depan Kante masih tidak pasti dengan kontrak baharu ditawarkan daripada Leicester, namun dalam masa yang sama banyak kelab lain menyatakan minat kepada pemain itu termasuk Chelsea.

Ranieri memberi amaran yang dia tidak mahu terus menunggu keputusan pemain berumur 25 tahun itu yang juga seorang daripada pemain bintang yang menyerlah dalam membantu kemenangan kelab itu musim lalu.

Dan dia turut cemerlang di Euro 2016 biarpun tidak dapat bermain dalam final ketika pasukannya tewas 1-0 kepada Portugal.

“Kami sudah menawarkan kontrak baru kepadanya. Dia kemudian pergi untuk menamatkan Euro 2016, dan kini ada banyak sangat spekulasi mengenai dia,” kata Ranieri ketika ditemui kem latihan pra musim Leicester di Austria, semalam.

“Saya tidak mahu kehilangannya tetapi saya faham jika dia mahu pergi.

“Saya mahu pastikan pada masa sekarang dia kekal bersama saya atau tidak, kerana perlawanan persahabatan akan bermula sekarang dan saya perlu mula untuk mengurus dan mengubah serta mencuba beberapa perkara.”

Ranieri sering menurunkan Kante dalam kesebelasan utama, yang turut meletakkan klausa pelepasan sekitar STG20 juta dalam kontraknya dan dipercayai kini sedang diperhatikan juara Eropah, Real Madrid serta Chelsea.

“Mungkin tidak Chelsea, mungkin pasukan lain yang pergi ke Liga Juara-Juara,” kata Ranieri.

Tetapi Ranieri yakin mengenai peluangnya mengekalkan Riyad Mahrez, yang dianugerahkan pemain terbaik Persatuan Bola Sepak Profesional (PFA) atas persembahan mengagumkan musim lalu.

Pemain Algeria itu turut menjadi tumpuan spekulasi perpindahan tetapi Ranieri jangkakan dia tidak akan meninggalkan Stadium King Power.

“Saya sangat yakin terhadapnya,” katanya. “Dia kekal bersama kami. “Dia menikmatinya dan bukanlah seseorang yang akan katakan ‘jurulatih saya mahu pergi’. Dia gembira.” – AFP