Ranieri beri amaran

Ranieri beri amaran

LONDON, 5 Feb – Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri memberi amaran kepada pemainnya betapa ‘ahli magis’ Manchester City masih mampu mengutip tiga mata penuh sekalipun mereka menampilkan permainan sempurna.

Kedua-dua kelab di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dijadualkan bertemu di Stadium Etihad esok dan ia dianggap antara pertembungan yang dinantikan musim ini.

Leicester terus menampilkan sesuatu dianggap ‘pelik’ musim ini dengan mengekalkan kelebihan tiga mata di puncak liga termasuk ketika membenam Liverpool 2-0, Selasa lalu.

Begitupun, tumpuan mereka adalah pertembungan dengan skuad bimbingan Manuel Pellegrini yang mensasarkan dua kemenangan berturut-turut, sesuatu yang gagal dilakukan kelab gergasi itu sejak Oktober tahun lalu.

Penyerang City, Sergio Aguero juga ketika ini berada di prestasi terbaiknya apabila berjaya menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan liga.

Ranieri ketika menyaksikan perlawanan antara Leicester City menentang Liverpool. Ranieri memberi amaran kepada pemainnya bahawa Manchester City masih mampu mengutip tiga mata penuh sekalipun mereka menampilkan permainan sempurna.
Ranieri ketika menyaksikan perlawanan antara Leicester City menentang Liverpool. Ranieri memberi amaran kepada pemainnya bahawa Manchester City masih mampu mengutip tiga mata penuh sekalipun mereka menampilkan permainan sempurna.

“Man City memiliki ramai pemain berbahaya. Kamu boleh bermain permainan yang sempurna, namun mereka akan menang kerana mereka mempunyai ahli magis,” kata pengurus kelahiran Itali itu.

“Ia adalah perlawanan yang terbuka dan mereka mahu menang. Kami juga mahu menang, jadi ia terbuka.

“Peminat kami terus berharap.Ia adalah yang kami mahukan.

“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar, namun bermula sekarang, hanya ada perlawanan yang sukar,” katanya.

Ranieri dalam pada itu terus menyuarakan betapa skuad bimbingannya bukan calon pilihan untuk menjuarai liga dan City tidak jauh daripada sasaran mereka seandainya mereka terus menampilkan aksi yang baik.

“Kelab lain (adalah pilihan). Bukan Leicester. Jika mereka mendesak lebih sedikit dalam perjalanan mereka, mereka akan berjaya.

“Mereka perlu berusaha keras,” kata bekas pengurus Chelsea itu. – Reuters