Ranieri harap Vardy, Mahrez kembali temui sentuhan

Ranieri harap Vardy, Mahrez kembali temui sentuhan

LEICESTER, 22 jan (AFP) – Pengurus Leicester, Claudio Ranieri tenang dengan tonggak utama mereka, Jamie Vardy dan Riyad Mahrez yang prestasi masing-masing tampak semakin menurun.

The Foxes hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan terakhir liga dan piala, tatkala penyerang England Vardy gagal meledak jaringan dalam enam perlawanan dan pemain sayap Algeria, Mahrez juga kemarau gol dalam lima perlawanan.

Selepas melayan kunjungan Stoke Sabtu lalu, pasukan kendalian Ranieri berdepan perlawanan berturut-turut menentang Liverpool, Manchester City dan Arsenal.

Namun pengendali dari Itali itu, kekal tenang dan tidak pernah merasa kecewa dengan kedua-dua pemainnya yang antara mereka sudah meledak 29 gol musim ini – termasuk rekod baharu Vardy, menjaringkan 11 gol berturut-turut dalam saingan liga.

“Jamie tidak cergas sepenuhnya ketika ini kerana dia bermain dalam banyak perlawanan ketika dia membantu meledak jaringan,” kata Ranieri.

“Dia sentiasa mempunyai sedikit masalah. Dia tidak boleh menyertai sesi latihan tetapi bermain pada perlawanan Sabtu lalu dan dia menjaringkan gol.

“Secara perlahan-lahan kamu akan hilang stamina. Itu biasa. Sekarang dia lebih baik selepas menjalani pembedahan pangkal paha.

“Dia berehat selama dua bulan, satu tempoh yang lama dan sekarang dia sudah mula berlatih dan bermain.”