Ranieri: Hormati Kante

Ranieri: Hormati Kante

LONDON, 20 Sept – Pengurus Claudio Ranieri mahu peminat Leicester City memberikan sambutan hangat kepada N’Golo Kante apabila dia kembali buat kali pertama ke laman The Foxes bersama Chelsea dalam perlawanan Piala Liga, esok.

Kante yang juga pemain tengah Perancis adalah tonggak penting yang membawa Leicester mencipta kejutan menakjubkan dengan memenangi gelaran Liga Perdana musim lalu sebelum berhijrah ke ke Stamford Bridge pada musim panas.

Dia satu-satunya tonggak utama yang keluar dari Leicester berbanding pemain seperti Kasper Schmeichel, Riyad Mahrez dan Jamie Vardy yang mana semuanya menandatangani kontrak baru di Stadium King Power.

“Saya akan memberinya satu sambutan selamat kembali yang hangat, begitu juga peminat kami. Mereka perlu menghargai apa yang dia lakukan musim lalu dan memberi sambutan yang hangat,” kata Ranieri.

“Saya sangat gembira jika peminat kami memberi tepukan kepadanya sebelum perlawanan dan selepas itu dia adalah musuh. “Mereka perlu faham bahawa apabila muncul satu pasukan besar, ia sukar untuk berkata tidak.

Kante (kiri) cuba melepasi halangan pemain Liverpool, James Milner semasa aksi liga di Stamford Bridge , 16 September lalu. – AP
Kante (kiri) cuba melepasi halangan pemain Liverpool, James Milner semasa aksi liga di Stamford Bridge , 16 September lalu. – AP

“Sebab itu saya mengucapkan terima kasih kepada Jamie Vardy dan keluarganya, dan juga Riyad, apabila mereka mengambil keputusan untuk kekal di sini. Bagi kami penting untuk mengekalkan semua pemain.”

Ranieri mencipta nama dalam bola sepak Inggeris sebagai pengurus Chelsea dari 2000 hingga 2004. Beliau juga berjaya mengatasi bos Chelsea baru Antonio Conte ketika mereka berada dalam liga Itali.

“Beliau (Conte) adalah pemenang, tetapi sudah tentu dia memerlukan masa,” kata Ranieri. “Realitinya di sini berbeza berbanding di Itali dan tugas beliau lebih besar sekarang. Tetapi dia betul dan saya fikir dia boleh merangkul beberapa trofi.

“Anda perlu memahami liga dan pemain anda. Pemain mesti memahami dia dan bagaimana dia mengurus dan bagaimana dia membuat pertukaran dan apa yang dia mahu. Saya melihat Chelsea cukup bagus setakat ini.”

Schmeichel belum lagi pulih daripada gegaran yang menyaksikan penjaga gol itu terlepas aksi kemenangan 3-0 ke atas Burnley. Ron-Robert Zieler pula akan bermula pada di gawang buat Leicester tetapi Matty James dan Nampalys Mendy belum cergas kerana cedera pergelangan kaki. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA