Ranieri mahu Leicester lebih fokus

Ranieri mahu Leicester lebih fokus

LONDON, 1 Jan (Reuters) – Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri, mahukan anak buahnya terus mempamerkan persembahan ‘separuh musim yang menakjubkan’ ketika turun beraksi menentang pasukan di tangga penyingkiran, Bournemouth, Sabtu ini.

Leicester yang berhadapan dengan penyingkiran musim lalu, kini hanya ketinggalan menerusi perbezaan jumlah jaringan di belakang pendahulu liga, Arsenal, selepas mencipta kejutan memenangi 11 daripada 19 perlawanan yang dihadapi setakat ini.

“Kita melalui perjalanan separuh musim yang menakjubkan. Sukar untuk mempercayai apa yang kami capai setakat ini, namun kami perlu teruskan rentak kemenangan ini.

“Kami sedang membina pasukan dan personaliti pasukan ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

“Kami mempersiapkan mental kami untuk bertanding di peringkat tertinggi. Kami tahu penyokong semuanya sedang bermimpi tetapi ia penting untuk mengingati di mana kami bermula.

“Kami akan bertarung sehingga habis musim kerana kami juga mahukan kemenangan. Kami akan terima setiap keputusan perlawanan selepas memberikan komitmen 100 peratus,” kata bekas pengurus Chelsea itu.

Ranieri juga percaya anak buahnya tidak akan ‘terbuai’ dengan cuti sempena sambutan Tahun Baharu yang diberikan kepada mereka dan mampu kembali fokus untuk perlawanan menentang Bournemouth itu.

“Mereka semuanya profesional. Penting untuk menyambut Tahun Baharu bersama keluarga namun selepas itu, kami perlu fokus kembali kerana ada perlawanan yang perlu dihadapi dan dimenangi.

ARTIKEL YANG SAMA