Ranieri mampu bawa Itali julang Piala Dunia – Tavecchio

Ranieri mampu bawa Itali julang Piala Dunia – Tavecchio

ROM, 10 Mei (Agensi) – Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri satu hari nanti mampu membawa negara asalnya menjuarai Piala Dunia, kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Carlo Tavecchio (gambar).

Pengendali berusia 64 tahun itu menjadi watak penting buat Leicester yang menamatkan kisah dongeng dicetuskan mereka sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini – gelaran pertama sejak penubuhan kelab itu 132 tahun lalu.

“Saya harap Ranieri akan memenangi Piala Dunia dengan Itali, itu adalah yang terbaik,” kata Tavecchio. “Saya bercakap secara abstrak dan sudah tentu bukan mengenai Piala Dunia akan datang (Piala Dunia 2018). Claudio masih muda dan masih mempunyai masa”.

Itali akan dikendalikan Antonio Conte pada kempen Euro 2016 di Perancis, bulan depan sebelum bekas jurulatih Juventus itu memulakan tugas bersama Chelsea – kelab lama Ranieri.

pg21_160511_c

“Adakah kami memikirkan mengenainya (Ranieri) sebagai pengganti kepada Conte? Dia sepatutnya yang perlu memikirkan mengenai kami,” kata Tavecchio.

“Kami berfikir mengenai banyak perbezaan buat masa sekarang tetapi semua pihak yang berada di negara kedua mengucapkan agar dia terus berjaya”.

Terdahulu, Ranieri menerima anugerah jurulatih terbaik Itali musim ini. Dua hari selepas menjulang trofi liga, dia kembali ke Rome bagi menerima anugerah Enzo Bearzot – nama jurulatih Itali yang membawa pasukan itu menjuarai Piala Dunia 1982.

Ranieri turut menerima anugerah Palma d’Oro (Golden Palm) – anugerah utama daripada Jawatankuasa Olimpik Itali.