Ranieri pilih Tottenham juara

Ranieri pilih Tottenham juara

LONDON, 1 Mac (AFP) – Pengurus Leicester Claudio Ranieri mengalih tekanan selepas melakukan kejutan mendahului Liga Perdana Inggeris dengan menyifatkan Tottenham sebagai calon pilihan muncul juara.

Skuad Ranieri kini dua mata mendahului Tottenham di kedudukan kedua dan menjadi tuan rumah kepada West Bromwich Albion, awal pagi esok dengan pemain Mauricio Pochettino bakal berdepan West Ham pada Khamis.

Tottenham menang 2-1 ke atas Swansea, Ahad lalu sekali gus terus memberi tekanan kepada Leicester, yang menewaskan Norwich 1-0.

Sebagai satu percubaan bagi meringankan beban terhadap pemain sendiri, Ranieri menegaskan kelab utara London itu adalah pendahulu liga ketika ini.

“Pada pendapat saya, Tottenham calon pilihan, selepas itu Arsenal dan Manchester City,” katanya kepada pemberita.

“Tottenham mantap dalam setiap situasi. Ketika bertahan dan menyerang, mereka tahu apa yang mereka mahu. Semua orang bercakap mengenai Leicester tetapi tiada siapa yang bercakap berkenaan Tottenham.

“Kami terkejut, ia sesuatu yang hebat, tenaga yang baik, tetapi jika kita realistik, pesaing sebenar adalah City, Arsenal dan Tottenham.

“Tugas kami sudah berakhir, kami hanya mahu selamat dan kini ada sesuatu yang baharu. Anda boleh mencapai sesuatu yang baharu jika anda fikir terhadap perlawanan demi perlawanan.

“Sekarang kami memberi tumpuan kepada West Brom, kami tahu boleh menang, kalah atau seri tetapi apa yang pasukan lain lakukan tidak penting.”

ARTIKEL YANG SAMA