Ranieri, Top yakin Mahrez kekal

Ranieri, Top yakin Mahrez kekal

LEICESTER, 6 Mei (AFP) – Claudio Ranieri yakin Riyad Mahrez kini 99 peratus kekal di Leicester walaupun Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) itu dikatakan dalam dilema oleh ejennya.

Naib Pengerusi kelab Aiyawatt Srivaddhanaprabha, atau lebih dikenali sebagai Top, juga senada dengan Ranieri apabila mengatakan bahawa Mahrez memberitahunya secara peribadi yang dia mahu terus memberi komitmen kepada juara Liga Perdana Inggeris itu musim depan.

Top berkata, dia berbincang dengan pemain 25 tahun itu berkenaan minat beberapa kelab termasuk Barcelona dan Arsenal tetapi jawapan Mahrez meyakinkan.

“Tidak, tidak, saya mahu kekal,” kata Mahrez kepada Top apabila diajukan soalan sama ada dia berminat untuk menyertai salah satu daripada kelab berkenaan.

Bagaimanapun Top berkata, dia tidak menjamin yang Mahrez akan kekal kerana keputusan terletak di tangan pemain dan kelab yang mahukan khidmat mereka.

Kontrak baru untuk menggandakan bayaran 35,000 pound seminggu kepada Mahrez akan dibincangkan dalam masa terdekat, manakala syarat-syarat baru akan dikenakan dalam perjanjian N’Golo Kante dan Danny Drinkwater.

“Kami perlu menunggu sehingga akhir musim untuk menilai setiap pemain,” kata Top, anak kepada pemilik Leicester, Vichai.

“Jika boleh kami mahu membina pasukan dengan kumpulan pemain yang sama dan menambah kualiti,” katanya.

“Saya faham. Saya tidak boleh kata dia akan kekal kerana pada akhir hari ia bergantung kepada pemain dan kelab yang mahu mereka, tetapi kita tidak mempunyai dasar untuk menjual pemain kita.”