Rapat jurang digital

Rapat jurang digital

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN,  11 Mei – Galakan integrasi dalam bidang teknologi info komunikasi (ICT) oleh perusahaan sokongan, memperbaiki kualiti kehidupan, celik ICT, merapatkan jurang digital memudah cara pelaburan dan mengembangkan lagi pasaran melalui keupayaannya untuk memudah cara pertukaran maklumat adalah antara agenda yang dibincangkan dalam Mesyuarat Kluster Infrastruktur Teknologi Info Komunikasi (ICT) BIMP-EAGA ke-4, hari ini.

Mesyuarat dua hari yang berlangsung di Dewan Mahligai, The Airport Mall itu dipengerusikan oleh Pengarah Telekomunikasi dan Perkhidmatan Universal, Kementerian Perhubungan dan Info komunikasi, Republik Indonesia, Ismail.

Dalam kenyataan, hari ini, Kementerian Perhubungan menyatakan, mesyuarat itu dihadiri oleh pegawai kerajaan dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, dan Filipina serta perwakilan dari sektor swasta setiap negara anggota, Majlis Perniagaan BIMP-EAGA dan dari Bank Pembangunan Asia.

Turut dibincangkan pada mesyuarat itu ialah sokongan dalam pelaksanaan perkhidmatan dan juga cara untuk mengurangkan kos dalam perniagaan serta transaksi berkaitan dengan transaksi perniagaan.

Pada mesyuarat itu negara-negara anggota membincangkan dan menyemak semula projek ICT yang boleh laksana bagi 2016 seperti yang telah dikenal pasti semasa Mesyuarat Rancangan Strategik BIMP-EAGA yang diadakan di Davao, Republik Filipina pada Februari 2016 lalu.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat tersebut juga akan membincangkan dengan lebih teliti lagi mengenai Matlamat Sektor ICT, objektif dan keutamaan strategik yang tertakluk di bawah Rangka Kerja baru BIMP-EAGA, iaitu Visi BIMP-EAGA 2025.

Di samping itu, mesyuarat juga akan membincangkan mengenai projek-projek yang boleh dipertimbangkan untuk usaha sama rakan-rakan BIMP-EAGA yang sedang membangun seperti Republik Rakyat China dan Nothern Territory, Australia.

Antara projek yang dikenal pasti termasuk Internet of Things (IOT), Fasa Satu e-Dagang bagi Program Bantuan ICT Luar Bandar (iROP) dan Program Pembangunan Kapasiti mengenai Inovasi dan Keusahawanan bagi BIMP-EAGA, yang akan diputuskan pada mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu telah didahului dengan pelancaran platform dana kumpulan oleh Pengerusi Eksekutif Majlis Perniagaan BIMP-EAGA, Pengiran Yura Kesteria bin Pengiran Setia Negara Haji Mohd Yusuf.

Sebagai sebahagian daripada agenda mesyuarat itu, delegasi negara anggota juga akan membuat lawatan teknikal ke Pusat Perniagaan, Darussalam Enterprise (DARe), Knowledge Hub (kHub), esok, untuk meninjau pencapaian aktiviti ICT di negara ini, dan meneliti peluang bagi kerjasama program inkubator kalangan anggota BIMP-EAGA.