Rapat persefahaman, kukuh tradisi Pandu Puteri

Rapat persefahaman, kukuh tradisi Pandu Puteri

KUALA PILAH, 1 Dis – Aktiviti yang diadakan sepanjang ‘International Girl Guides Centenary Camp 2016’ sejak Isnin lepas ternyata membangunkan potensi dan memperkayakan pengalaman dalam diri anggota Pandu Puteri.

Yang Di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Negeri Sembilan Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin berkata menerusi aktiviti itu peserta mendapat banyak manfaat dan turut meninggalkan kesan yang mendalam kepada semangat Pandu Puteri.

“Banyak aktiviti yang disertai para peserta menjurus kepada semua aspek menjaga dan mengukuhkan tradisi Pandu Puteri dengan merapatkan persefahaman dan persahabatan dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup kem itu anjuran PPPM Cawangan Negeri Sembilan di Kem PLKN Karisma di sini hari ini.

Majlis penutup itu disempurnakan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almaruhum Tengku Besar Mahmud yang juga Penaung DiRaja PPPM Cawangan Negeri Sembilan.

Peserta majlis penutup perkhemahan International Girl Guides Centenary Camp 2016 bergambar bersama di Kem PLKN Karisma, kelmarin. – Bernama
Peserta majlis penutup perkhemahan International Girl Guides Centenary Camp 2016 bergambar bersama di Kem PLKN Karisma, kelmarin. – Bernama

Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya PPPM Normala Baharudin; Timbalan Yang DiPertua PPPM, Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; dan Yang DiPertua PPPM Kedah, Raja Puan Muda Perak Datuk Seri DiRaja Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Raja Salbiah berkata Pandu Puteri yang bermula 100 tahun lalu di negara ini merupakan salah satu pusat yang terawal di dunia dan pencapaian selama itu akan terus diraikan dengan menghormati warisan menerusi komitmen kepada falsafah membimbing menerusi Pandu Puteri.

“…..dan di sini hari ini, betul-betul di hadapan kita, di sekeliling kita dan dalam kalangan kita, yang kita lihat adalah keratan rentas yang mana wanita muda menunjukkan contoh modal insan membimbing dapat dihasilkan,” katanya.

Kira-kira 700 peserta Pandu Puteri dari seluruh negara termasuk Australia, Bangladesh, Brunei, Maldives, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka menyertai perkhemahan itu.

Pada majlis itu, Tuanku Aishah Rohani turut menyampaikan sijil penyertaan, sijil penghargaan dan sijil pencapaian kepada peserta. – Bernama