Rapat silaturahim kalangan keluarga polis

Rapat silaturahim kalangan keluarga polis

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Pasukan Polis Diraja Brunei hari ini mengadakan Hari Keluarga Pasukan Polis Diraja Brunei 2016 bertempat di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan dan Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei itu ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor bersama isteri.

Acara yang melibatkan kira-kira 400 orang pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei itu bermula sejurus selepas ketibaan tetamu kehormat dengan senaman memanaskan badan selama 30 minit.

Setelah semuanya bersedia, tetamu kehormat merasmikan dan kemudiannya menyertai acara walkaton sejauh 2.5 kilometer mengelilingi kawasan Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei.

Sementara ibu bapa mereka menyertai walkaton, kanak-kanak juga berseronok mandi-manda dan bermain bouncer yang disediakan pihak penganjur.

Dato Paduka Seri Haji Bahrin (dua, kanan) melakukan senamrobik memanaskan badan sebelum mengetuai walkaton sekitar Ibu Pejabat Polis Gadong.
Dato Paduka Seri Haji Bahrin (dua, kanan) melakukan senamrobik memanaskan badan sebelum mengetuai walkaton sekitar Ibu Pejabat Polis Gadong.
Kanak-kanak seronok dapat bermain bouncer pada sambutan Hari Keluarga Pasukan Polis Diraja Brunei.
Kanak-kanak seronok dapat bermain bouncer pada sambutan Hari Keluarga Pasukan Polis Diraja Brunei.
Sambutan Hari Keluarga turut diserikan dengan petak jual-jualan.
Sambutan Hari Keluarga turut diserikan dengan petak jual-jualan.

Badan Kebajikan dan Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei merupakan badan kebajikan yang menyelenggarakan kebajikan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei.

Acara berkenaan merupakan salah satu aktiviti anjuran badan tersebut bagi memberi kesempatan kepada anggota meluangkan masa mereka bersama keluarga di hujung minggu setelah penat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Pasukan Polis Diraja Brunei berharap dengan adanya acara seperti ini, ia akan dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim dan hubungan kekeluargaan dalam kalangan pegawai dan anggota polis.