Rapid Rail sedia beri sokongan MRT Bangkok

Rapid Rail sedia beri sokongan MRT Bangkok

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) – Anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd, Rapid Rail Sdn Bhd, akan menyediakan sokongan teknikal bagi laluan MRT, Bangkok MRT Purple Line di Thailand.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata sepasukan enam pemandu dan lima pengawal akan ditugaskan dengan pengendali MRT Thailand selama empat bulan.

“Permohonan bagi sokongan tenaga kerja bagi ujian integrasi tapak datang daripada Marubeni-Toshiba JV, yang bertanggungjawab dalam menyampaikan sistem bagi laluan berkenaan.

“Kami amat berbesar hati dapat menawarkan perkhidmatan kami kepada rakan kongsi antarabangsa kami terutamanya negara-negara anggota ASEAN,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Ahmad Nizam Mohd Amin.

pg18_151124_a

Beliau berkata Rapid Rail dan Prasarana akan berkongsi pengalaman dalam perancangan dan operasi laluan rel bandar dengan MRT Jakarta.

“Kedua-dua pihak juga akan meneroka kemungkinan dalam pertukaran pengetahuan dan kepakaran, maklumat operasi dan teknikal bagi meningkatkan keupayaan,” katanya.

Projek antarabangsa pertama Rapid Rail ialah Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line bagi operasi haji tahun ini.

Ahmad Nizam berkata syarikat akan terus meningkatkan perkhidmatan di Tanah Suci itu tahun depan dan memulakan persediaan awal bagi musim haji 2016.

ARTIKEL YANG SAMA