Rapsodi akan pamer kejayaan industri hiburan Melayu

Rapsodi akan pamer kejayaan industri hiburan Melayu

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Rancangan Rapsodi di antara MediaCorp Suria (Suria), Singapura dan Radio Televisyen Brunei (RTB) tahun ini yang membawakan tema Evolusi Muzik akan menggambarkan kejayaan industri hiburan Melayu, menggariskan kejayaan kreatif dan inovasi dalam lagu serta persembahan sejak beberapa tahun.

Persembahan itu nanti, yang akan berlangsung pada 13 November ini pukul 8:30 malam di saluran Suria, Singapura akan dihoskan oleh personaliti TV, Nurul Aini dari Singapura dan Alfi Shahreen dari Brunei Darussalam.

Artis-artis yang akan memeriahkan persembahan gala tahunan itu ialah Hyrul Anuar, Elfie Ismail, Ryan Sufian, Kalysa, Mawar Berduri, Left Tool, Suhaimi Yusof dan Khairudin Samsudin dari Singapura, manakala Brunei Darussalam akan menampilkan Syasya Sahira, Dila, Hill Zaini, Adi Rani, Dayah dan Tauffek Ilyas.

Dijangka hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Perhubungan dan Maklumat, Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Brunei Darussalam, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.

Rapsodi tersebut merupakan persembahan gala tahunan yang diadakan bersama oleh Suria dan RTB di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang membabitkan kerjasama dalam bidang penyiaran dan maklumat di antara Singapura dan Brunei Darussalam, yang meraikan ulang tahun ke-25 pada tahun ini.

Di bawah MoU tersebut, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama (JTC) dan Rapsodi diadakan pada setiap tahun, dengan Singapura dan Brunei Darussalam menjadi tuan rumah secara bergilir-gilir.

Tahun ini, Mesyuarat JTC berkenaan dipengerusikan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif Media Development Authority, Singapura, Gabriel Lim dan Pengarah RTB, Haji Muhd Suffian bin Haji Bungsu.

Para pegawai dari Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam dan RTB akan berada di Singapura untuk menghadiri mesyuarat tersebut dengan perwakilan dari Kementerian Perhubungan dan Maklumat Singapura, Media Development Authority dan MediaCorp pada 12 dan 13 November ini.

ARTIKEL YANG SAMA