Raptai penuh Musabaqah Membaca Al-Quran

Raptai penuh Musabaqah Membaca Al-Quran

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Persediaan bagi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1437Hijrah/2016Masihi sedang giat diadakan dan hari ini, raptai penuh bagi acara berkenaan telah diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Hadir bagi menyaksikan raptai penuh berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad bin Pengiran Mohd Yusof dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.

Musabaqah yang membawa tema ‘Al-Quran Penawar dan Ubat bagi Rohani dan Jasmani’ akan bermula esok hingga 21 April dan akan disertai seramai enam Qari dan enam Qariah yang telah layak ke peringkat akhir.

Peserta Qari ialah Awangku Muhd Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki sebagai juara bertahan, Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri, Awang Mohd Fikri bin Haji Awang Metusin, Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya, Haji Muhd Zul Hafiz bin Awang Tengah dan Awang Mohammad bin Ali.

Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama ketika raptai penuh Musabaqah Membaca Al-Quran kelmarin.
Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama ketika raptai penuh Musabaqah Membaca Al-Quran kelmarin.

SONY DSC

Manakala itu, peserta Qariah ialah Hajah Siti Noor Dzuhairah binti Haji Awang Damit sebagai juara bertahan, Dayang Siti Huzzaimah Yadey binti Haji Rosli, Hajah Nurul Akmalina binti Haji Yahya, Dayang Nurfaezah binti Haji Emran, Dayang Norezah binti Haji Deli dan Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat.

Orang ramai yang berhasrat untuk hadir menyaksikan Musabaqah berkenaan diperlukan untuk memohon pas masuk di lembaga kawalan keselamatan yang terletak di tingkat bawah bangunan tambahan di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, walau bagaimanapun, pas masuk dan tempat duduk adalah terhad.

Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan untuk memakai pakaian sesuai yang melambangkan pakaian kebangsaan iaitu Baju Cara Melayu, songkok serta sinjang, manakala bagi perempuan untuk memakai Baju Kurung dan tudung.

Antara lain tujuan pertandingan berkenaan diadakan adalah bagi memberikan pendedahan dan pengalaman kepada para pembaca Al-Quran di negara ini, dan pada masa yang sama berfungsi sebagai perantara (medium) dalam memotivasikan mereka ke arah mencapai prestasi yang lebih baik pada masa akan datang selain menggilap potensi berbakat Qari dan Qariah yang mewakili negara di Pertandingan Membaca Al-Quran Antarabangsa.