Raptai penuh sambutan Nuzul Al-Quran

Raptai penuh sambutan Nuzul Al-Quran

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1436 Hijrah akan diadakan pada 3 Julai 2015 di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Bagi memastikan kelancaran sambutan, raptai penuh majlis tersebut diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas dengan disaksikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1436 Hijrah serta ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang lain.

Sambutan tahun ini yang dikendalikan bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan bertemakan “Al-Quran Penawar dan Rahmat.”

KHEU dalam kenyataannya hari ini berkata, antara pengisian atur cara Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1436 Hijrah ialah pemakluman keputusan dan penganugerahan hadiah-hadiah kepada pemenang-pemenang Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan dan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1436 Hijrah.

Pada tahun ini, seramai 206 orang peserta telah mendaftar untuk mengikuti Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan Tahun 1436 Hijrah.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad (kanan) bersama Mufi Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menyaksikan raptai penuh sambutan Nuzul Al-Quran 1436 Hijrah.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad (kanan) bersama Mufi Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menyaksikan raptai penuh sambutan Nuzul Al-Quran 1436 Hijrah.

Daripada jumlah itu, seramai 23 orang berjaya dan terpilih memasuki peringkat akhir kebangsaan dan telah bertanding pada 3 dan 4 Jun 2015 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Negara Brunei Darussalam mengikut kategori masing-masing, iaitu Kategori “A” seramai lima orang perempuan, Kategori “B” seramai lima orang (satu lelaki dan empat perempuan), Kategori “C” seramai lima orang (empat lelaki dan satu perempuan), Kategori “D” seramai lima orang (dua lelaki dan tiga perempuan) dan Kategori “E” seramai tiga orang lelaki sahaja.

Mereka yang bertanding di Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Kebangsaan Tahun 1436 Hijrah pada hari tersebut adalah bagi Kategori “A” Awang Iman Al-Humaira binti Haji Emran/Ahmad Abdussalam, Dayangku Widad Aiman binti Pengiran Haji Mohammad Hasimudin, Dayang Majdah Al-Zahraa binti Zawawi, Dayangku Siti Sarah Shalehah binti Pengiran Haji Md Zain dan Dayang Nurjeehan Solehah binti Najhe.

Peserta tersebut telah bertanding bagi menghafaz surah-surah pilihan dari Juz 30 iaitu Surah Al-Lail, Surah Al-Buruuj, Surah Ath-Thaariq, Surah Al-Ghasyiyah, Surah Al-Balad, Surah Asy-Syams, Surah Al-A’laa, kompilasi surah-surah lazim bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas berserta pemahaman Surah Al-Fajr, Surah Al-A’laa, Surah Ad-Dhuha dan Surah Al-Qadr bagi kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah pada 1 Januari 2015 dan tidak pernah menjadi johan dalam Kategori “A”.

Sementara bagi Kategori “B” pesertanya adalah Awang Mohammad Hafizuddin bin Mohammad Saidin, Dayang Bani Nurun Nasyithah binti Asbinin, Dayang Alya Najdah binti Dr Haji Norarfan, Dayang Nuriwani Hidayah binti Haji Chipli dan Dayang Nur Syahirah Tul Musyirah binti Musa.

Peserta kategori itu menghafaz surah-surah pilihan iaitu Surah As-Sajdah, Surah Yasin, Surah Al-Insaan, Surah Ar-Rahmaan, Surah Al-Waaqi’ah, Surah Munaaffiqun dan Surah Al-Mulk berserta Pemahaman Surah Mumtahannah, Surah Al-Jumuah dan Surah At-Talak.

Dua kakitangan yang turut mengambil bahagian dalam raptai penuh sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1436 Hijrah di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Dua kakitangan yang turut mengambil bahagian dalam raptai penuh sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1436 Hijrah di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Peserta bagi Kategori “C” terdiri daripada Awang Julazni bin Haji Zaini, Awang Ahmad Sabiq bin Ahmad, Hajah ‘Rozimah Mukarramah binti Haji Salleh, Awang Muhammad Auni Marzuqi bin Haji Anuar dan Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran.

Turut dipertandingkan ialah Kategori penjenamaan semula iaitu peserta yang telah bertanding bagi Menghafaz tiga juz al-Quran iaitu daripada Juz 1 hingga Juz 3 berserta Pemahaman Juz 2 bagi semua peringkat umur dan tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam Dalam Kategori 10, 20 dan 30 Juz serta tidak pernah menjadi johan dalam Kategori ‘C’ sebanyak dua kali.

Kategori “D” disertai oleh Dayang Nor Asilah binti Haji Putting, Dayang Nor Hafizah binti Haji Jahari, Awang Mohammad Saiful Wafi@Aman bin Haji Adis, Awangku Muhammad Abdul Majeed Ariffin bin Pengiran Haji Md Abdul Aziz dan Dayang Raihanah binti Haji Ali Asgar.

Peserta telah bertanding bagi Menghafaz 15 Juz Al-Quran iaitu daripada Juz 1 hingga Juz 15 berserta Pemahaman Juz 9 bagi semua peringkat umur dan tidak pernah menjadi johan sebanyak tiga kali dalam Kategori “C” dan tidak pernah menjadi johan tiga kali dalam musabaqah menghafaz 30 Juz serta tidak pernah menerima Elaun Ujian Tasmie’ Menghafaz Al-Quran Negara Brunei Darussalam Dalam Kategori 20 dan 30 Juz.

Kategori “E” disertai oleh Awang Muhammad Hasbul Wafi bin Haji Ahmad, Awang Irma Mohammad Hazmie bin Haji Matussin dan Awang Muhammad Khairul Anuar bin Haji Ahmad.Kategori tersebut terbuka kepada semua peringkat umur dan tidak menjadi johan tiga tahun berturut-turut dalam Kategori menghafaz 30 Juz.

Peserta pernah menjadi johan tiga tahun berturut-turut boleh menyertai pertandingan semula iaitu selepas dua tahun kemudian pertandingan diadakan. Manakala Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1436 Hijrah telah berlangsung pada 30 Jun 2015 dan 1 Julai 2015 mengikut kategori masing-masing.

Sementara itu bagi Kategori Menghafaz 30 Juz Al-Quran Berserta Pemahaman Juz 20 pula masing-masing disertai oleh Awang Irma Mohammad Hazmie bin Haji Metussin dari Negara Brunei Darussalam, Badrut Tamam Achmad dari Republik Indonesia, Farihah binti Zulkifli dari Malaysia dan Muhammad Ilyas bin Mohammad Asraff dari Republik Singapura.

ARTIKEL YANG SAMA