Raqa terus diserang

Raqa terus diserang

BEIRUT, 27 Nov (AFP) – Di kubu kuat IS, siren bergema setiap kali pesawat perang menghampiri dan anggota kumpulan itu meninggalkan pos kawalan dan kenderaan masing-masing untuk berlindung, menurut aktivis.

Kini, pakatan yang diketuai Amerika Syarikat serta Rusia meningkatkan serangan udara terhadap pusat pentadbiran kumpulan IS sejak ia mengaku bertanggungjawab menjatuhkan pesawat penumpang Syria di Sinai, Mesir bulan lalu dan serangan di Paris dua minggu kemudian.

“Siren diletakkan di bumbung bangunan tinggi, di dataran awam dan jalan raya,” kata aktivis anti-IS, Taym Ramadan, daripada gerakan ‘Raqa is Being Slaughtered Silently’.

“Apabila sebuah pesawat perang memasuki ruang udara Raqa, siren dibunyikan bagi memberi amaran kepada anggota IS.

Apabila mendengar siren, mereka terus meninggalkan kedudukan masing-masing,” katanya. Seorang lagi aktivis yang menggelarkan dirinya Abu Sham al-Raqaa, berkata: “Apabila pesawat terbang lalu, mereka membunyikan siren bagi memberi amaran kepada pejuang dan penduduk tetapi masalahnya pengeboman berlaku siang dan malam.

“Raqa ditawan IS sejak Januari 2014 selepas pertempuran hebat antara anggota kumpulan itu dengan kumpulan penentang lain yang menawannya daripada tentera kerajaan pada Mac 2013.

“Raqa is Being Slaughtered Silently” mendokumentasikan kekejaman IS di bandaraya itu sejak April 2014 apabila ia tidak lagi didatangi wartawan selepas beberapa orang daripada mereka diculik dan dibunuh.