Rasa syukur dan gembira terima kunci anak rumah

Rasa syukur dan gembira terima kunci anak rumah

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani & Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb – Rasa syukur tidak terhingga ke hadrat Allah S.W.T dan menjunjung kasih kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tidak lekang dari bibir penerima kunci anak rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) bagi Daerah Brunei dan Muara hari ini.

Dalam temu bual bersama wartawan Media Permata, beberapa orang penerima anak kunci yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa melahirkan kesyukuran masing-masing setelah penantian bertahun-tahun lamanya berakhir.

Dayang Masnauyah binti Haji Samsuddin yang sebelum ini tinggal di Kampung Katok berkata peluang yang dinanti selama 16 tahun kini berakhir. Beliau yang tidak mampu membina rumah sendiri, mendapat sebuah rumah jenis teres di Jalan Bukit Sinadur, Kampung Panchor.

Sementara itu, Dayang Noor Azizah binti Haji Sahib, 41, juga dikurniakan rumah jenis teres di Kampung Panchor. “Saya amat bersyukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kurnia rumah baru ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika melawat ke rumah Awang Muhd Nazrul Raffie.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika melawat ke rumah Awang Muhd Nazrul Raffie.
Dayang Masnauyah dan Dayang Noor Azizah ketika penerimaan anugerah berkenaan.
Dayang Masnauyah dan Dayang Noor Azizah ketika penerimaan anugerah berkenaan.

Manakala, Pengiran Amirul Azwan bin Pengiran Awang, 37, yang sebelum ini menetap di salah sebuah rumah kerajaan juga menerima rumah di Kampung Panchor berupa sebuah rumah jenis kembar.

“Bersyukur sangat-sangat kerana telah menunggu selama berbelasan tahun bagi menerima perumahan ini. Menjunjung kasih kehadapan majlis KDYMM kerana telah memberikan kami rumah sebagai tempat berlindung kami sekeluarga,” jelas beliau yang kini berkhidmat sebagai seorang anggota bomba.

Bagi Pengiran Haji Muhd Sapiudin bin Pengiran Haji Zainal yang merupakan seorang kurang upaya, anugerah rumah itu merupakan yang istimewa, apa tah lagi mereka sudah menunggu selama 18 tahun dan hanya menerima sumber kewangan daripada pihak kebajikan dan elaun kurang upaya.

Salah seorang penerima juga, Muhd Nazrul Raffie bin Abdullah @ Juan anak Bugi yang juga dikurniakan rumah di majlis berkenaan RPN Kampung Panchor (Mengkubau), Mukim Mentiri, juga meluahkan perasaan gembiranya ketika ditemui.

“Menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke atas kurnia yang telah diterima hari ini menjadikan kami sekeluarga semakin ceria ialah apabila KDYMM bercemar duli ke rumah baru kami ini.”

ARTIKEL YANG SAMA