Rasai acara larian di negeri seberang

Rasai acara larian di negeri seberang

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

 KUALA BELAIT, 27 Nov – Seramai sembilan orang dalam kalangan ahli-ahli KB Runner telah mewakili Negara Brunei Darussalam bagi penyertaan acara popular di Pulau Pinang iaitu Penang Bridge International Marathon (PBIM) yang berlangsung hari ini.

Salah seorang daripada peserta KB Runner, Emran bin bin Haji Yahya, dalam temu bual menggunakan media sosial Watsapp hari ini memberitahu, antara lain tujuan mereka menyertai acara tersebut adalah untuk meningkatkan pengalaman di arena larian antarabangsa dan juga untuk mencuba cabaran antarabangsa.

Menurutnya, tahun ini merupakan penyertaannya buat kali kedua setelah menyertainya buat kali pertama pada tahun 2012 juga dalam kategori larian penuh sejauh 42 kilometer.

Seorang pelari tempatan veteran yang sudah tidak asing lagi Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Zainin juga menyertai larian tersebut bersama anaknya Dayangku Nurul Aina Syafiqah, bagi kategori larian sejauh 10 kilometer junior dan telah mendapat tempat ke-15 teratas dengan catatan 57 minit dan 28 saat.

Sementara itu, seramai enam orang dari KB Runner juga menyertai kategori larian penuh 42 kilometer, seorang lagi bagi larian 21 kilometer yang menyertai acara PBIM itu buat kali pertama.

Peserta daripada KB Runner, semasa menyertai Penang Bridge International Marathon (PBIM) yang diadakan di Pulau Pinang.
Peserta daripada KB Runner, semasa menyertai Penang Bridge International Marathon (PBIM) yang diadakan di Pulau Pinang.

Larian anjuran Pejabat Pembangunan Pelancongan Negeri Pulau Pinang dan disokong sepenuhnya oleh kerajaan Negeri Pulau Piang itu merupakan acara yang sering dinanti-nantikan oleh penggemar arena sukan tersebut sejak ia ditubuhkan pada tahun 1986.

Larian tersebut yang diadakan setiap tahun di Jambatan Pulau Pinang, dan PBIM adalah acara sukan yang melibatkan penyertaan terbesar di Pulau Pinang, sehingga membawa puluhan ribu pelari keluar mengambil bahagian.

Pada tahun 2014, PBIM telah berjaya menarik sejumlah 60,000 pelari daripada tempatan dan luar negara dan buat kali pertama diadakan di Jambatan Terpanjang di Asia Tenggara yang berukuran 24 kilometer panjang dikenali sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah yang juga dikenali sebagai Jambatan Pulau Pinang kedua.

ARTIKEL YANG SAMA