Rasai budaya dan pelancongan Brunei

Rasai budaya dan pelancongan Brunei

Oleh Normazlina M.D. & Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Seramai 18 peserta Program Pelancongan berasaskan Komuniti (CBT), terdiri daripada 12 pelajar dari universiti Korea dan enam pelajar dari universiti negara-negara ASEAN memulakan lawatan mereka ke Daerah Tutong, pagi tadi.

Ketua Unit Budaya dan Pelancongan, ASEAN-Korea Centre, Muhammad Daud yang mengetuai rombongan itu menjelaskan, antara aktiviti program tersebut ialah untuk mengenali budaya Brunei dengan lebih dekat di samping mempelajari amalan budaya pelancongan yang mapan, serta mendekati pertukaran budaya bersama pelajar-pelajar negara ASEAN-Korea dan masyarakat serta penduduk tempatan.

Menurut Muhammad Daud, selepas mengadakan lawatan di Brunei, pelajar-pelajar seterusnya perlu menyelesaikan tugasan mereka dalam menyampaikan idea-idea kreatif dan pengalaman mereka semasa mengikuti Program CBT, dengan menyampaikan pembentangan dan membuat klip video sesuai dengan tema ‘Youth Fostering Sustainable Tourism Development.’

Rombongan tersebut tiba di negara ini semalam dan akan berada di sini sehingga 23 Ogos ini. Mereka memulakan lawatan ke Tasbee Meliponiculture bagi menyaksikan perusahaan Madu Lebah Kelulut di Sungai Kelugos, pagi tadi.

Sejurus itu, rombongan juga berpeluang melawat ke Perusahaan Minyak Kelapa Dara di Kampung Tanjong Maya dan seterusnya membuat lawatan ke tempat pemprosesan Teh Herba 3MPK Kampung Kiudang.

Pelajar-pelajar menyaksikan dan mencuba sendiri madu kelulut.
Pelajar-pelajar menyaksikan dan mencuba sendiri madu kelulut.

Sepanjang program tersebut, para pelajar akan berpeluang mengikuti aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan mapan luar bandar dan eko-pelancongan di Seri Tanjung Homestay yang telah dianugerahkan Anugerah Piawaian Homestay ASEAN pada 2016.

Program ini direka untuk meningkatkan kefahaman belia ASEAN dan Korea pada pembangunan pelancongan mapan ASEAN dan juga untuk menggalakkan pembangunan belia yang didorong oleh idea-idea kreatif dan boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pengalaman CBT di Negara Brunei Darussalam.

Peserta program juga berpeluang merasai budaya Brunei antaranya permainan tradisional, membuat layang-layang, memasak masakan tradisional, kegiatan sukarelawan seperti penanaman pokok dan aktiviti pemuliharaan alam sekitar, inap desa di kampung-kampung, dan meneroka sifat murni Taman Negara Ulu Temburong.

Pelajar yang mengambil bahagian juga diberikan tugasan untuk membuat persembahan berdasarkan pengalaman mereka sepanjang program dan ini termasuk cadangan idea-idea baru dan kreatif dalam pembangunan.

Program CBT itu dianjurkan oleh ASEAN-Korea Centre dengan kerjasama Pelancongan Brunei, bertujuan menggalakkan belia-belia dalam menyampaikan idea-idea kreatif mereka selain mempunyai pengalaman dalam program pelancongan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA