Rasai keceriaan bersama

Rasai keceriaan bersama

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos– Majlis Perundingan Kampung Sungai Buloh dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Sungai Buloh hari ini mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di rumah Ketua Kampung Sungai Buloh, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Ibrahim/Pengiran Abdul Rahim.

Serentak dengan itu juga telah diadakan penyampaian derma kepada 40 anak-anak yatim dari Kampung Sungai Buloh dan STKRJ Sungai Buloh oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, selaku tetamu kehormat majlis.

Pengiran Haji Ismail ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, majlis itu adalah bagi meraikan anak-anak yatim di kampung itu supaya sama-sama merasakan keceriaan dan bergembira menyambut suasana Hari Raya Aidilfitri ini.

“Ini merupakan kali kedua mereka diraikan, yang mana majlis penyampaian derma pertama telah diadakan pada penghujung bulan Ramadan yang baru lalu, dan majlis yang kedua ini dijayakan atas inisiatif Ahli Majlis Perundingan Kampung Sungai Buloh/STKRJ Sungai Buloh yang berusaha dan berjaya mendapatkan peruntukan perbelanjaan daripada kerajaan melalui Jabatan Daerah Brunei dan Muara,” beliau berkata.

Awang Misle (kanan sekali) menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim.
Awang Misle (kanan sekali) menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim.

Pengiran Haji Ismail turut memaklumkan bahawa majlis itu juga bagi meraikan penubuhan Belia/Beliawanis Takmir Masjid Kampung Sungai Buloh setelah mengambil kira peranan mereka yang penting dalam memakmurkan masjid semasa bertadarus Al-Quran di sepanjang bulan Ramadan lalu.

Beliau berharap penubuhan Belia/Beliawanis Takmir Masjid Kampung Sungai Buloh itu dapat menjadi pemangkin kepada golongan belia untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Pengiran Haji Ismail merakamkan rasa terima kasih beliau kepada Ahli Majlis Perundingan Kampung Sungai Buloh/STKRJ Sungai Buloh serta Ahli Takmir Masjid dan penduduk Kampung Sungai Buloh yang telah bersama-sama memelihara kesejahteraan kampung itu.

Pengiran Haji Ismail juga tidak lupa menyeru semua pihak supaya terus memberikan kerjasama dalam meningkatkan keselamatan, keamanan, perpaduan dan keharmonian hidup berkampung di samping mengekalkan adat susila di kampung itu dengan penuh komitmen.

ARTIKEL YANG SAMA