Rasai keindahan Kampong Ayer

Rasai keindahan Kampong Ayer

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Abdul Hakiim Yakof

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Seramai 13 wakil media luar negara dari China, Hong Kong dan Taiwan, kagum menyaksikan keindahan Kampong Ayer apabila dibawa menyusuri Sungai Brunei, hari ini.

Pelayaran persiaran menggunakan kapal MV Sentosa itu dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Brunei, Kementerian Perindustrian Sumber-Sumber Utama, bagi rombongan berkenaan yang berada di negara bagi mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu destinasi pelancongan, sekali gus memperkenalkan budaya tempatan, makanan tempatan dan beberapa tempat-tempat menarik di negara ini.

Dalam pelayaran itu, rombongan disertai bersama pegawai dan kakitangan dari Jabatan Pelancongan Brunei, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dan orang-orang berkepentingan, di mana mereka juga dihidangkan makan malam.

Salah seorang wakil media dari Hong Kong, Tsang Kimwa menyatakan kekagumannya menyaksikan keindahan Kampong Ayer sebagai salah sebuah tempat tarikan di negara ini.

Menurutnya, tradisi budaya negara ini masih jelas dilihat dengan susunan rumah kayu yang sebilangan daripadanya berwarna-warni.

Gambar ramai bersama wakil media luar dengan pihak penganjur.
Gambar ramai bersama wakil media luar dengan pihak penganjur.

“Saya akan membawa cerita menarik mengenai negara yang sangat indah ini, yang memang sesuai sebagai tempat yang tenang dan relaks bagi mereka yang menginginkan kejauhan daripada kesibukan kota,” jelas penulis kebudayaan itu.

Katanya lagi, hotel-hotel di Brunei tidak jauh dari tempat-tempat tarikannya dan menambah bahawa pelancong-pelancong dari China atau Hong kong tentu terpegun terhadap kecantikan alam semula jadi, hidupan liar serta kekayaan sejarah dan budayanya.

Pelayaran menyusuri Sungai Brunei selama dua jam itu bermula di Jeti Ratu Elizabeth II, melepasi Kampong Ayer, Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien, Dermaga Diraja Brunei, Istana Nurul Iman, ladang ikan dan hutan bakau serta tempat bersejarah Jong Batu.

Kapal MV Sentosa, yang dikendalikan oleh Sha-Zan Marine Sdn Bhd, itu boleh menampung seramai 60 penumpang dan dilengkapi dengan ruangan berhawa dingin dan kemudahan sistem audio visual untuk pelbagai aktiviti serta kawasan dapur dan bar untuk penyediaan makanan dan minuman.

Rombongan berkenaan di negara ini bagi acara Sepetang Bersama Wu Chun, kelmarin, yang dianjurkan bersama Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan The Empire Hotel and Country Club, Jerudong dan disokong oleh Jabatan Pelancongan Brunei, Kementerian Perindustrian Sumber-Sumber Utama, Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA