Rasai pembelajaran luar bilik darjah

Rasai pembelajaran luar bilik darjah

KOTA KINABALU, 5 Julai – Kanak-kanak bandar akan berpeluang mengalami suasana kehidupan di kampung melalui program Balik Kampung anjuran Muzium Sabah sebelum memulakan cuti persekolahan hujung tahun Disember ini.

Ketua Bahagian Pendidikan muzium itu, Mariana Lingan, berkata aktiviti tahunan itu diadakan khusus untuk pelajar sekolah rendah dan menengah bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan kehidupan kampung.

“Kebanyakan anak muda hari ini mempunyai akses kepada teknologi dan semakin bergantung padanya untuk mencari hiburan, hingga menjadikan mereka kurang meminati aktiviti luar bilik darjah dan sukan.

“Mereka kurang mengetahui tentang budaya dan gaya hidup tradisional yang masih diamalkan di kampung seperti bagaimana kanak-kanak mengisi masa lapang mereka. Melalui program ini, anak muda akan berpeluang mencuba kebolehan mereka dalam pelbagai permainan dan sukan yang masih terdapat di kampung,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Program itu akan berlangsung dari 31 Okt hingga 1 Nov dan diadakan setiap tahun bagi memupuk dalam diri kanak-kanak sikap menghargai budaya balik kampung semasa cuti persekolahan, di samping menambah pengetahuan tentang sukan dan permainan masyarakat peribumi.

Pelbagai jenis sukan, daripada lastik, buluh sumpit dan berjalan dengan kaki buluh, hinggalah kepada permainan lain yang menjadi kegemaran kanak-kanak seperti guli, batu seremban dan gasing, yang menjadi warisan budaya Malaysia, akan diadakan, termasuk secara demonstrasi oleh petugas muzium itu.

Aktiviti lain yang akan turut diadakan termasuk pertan-dingan memancing dan melukis bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, yang bertemakan permainan tradisional dan menyediakan hadiah hamper untuk pemenangnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sains dan Teknologi Muzium Sabah, Dius Kubud, pegawai yang bertanggungjawab mengelola program itu dari 2012 hingga 2014, berkata antara matlamat program itu ialah mempromosikan aktiviti muzium berkenaan dan membantu kanak-kanak untuk mengetahui dengan lebih mendalam fungsinya serta mendidik mereka tentang keperluan memulihara sukan yang wujud sejak zaman lampau. – Bernama