Rasai sendiri pengalaman membuat kuih

Rasai sendiri pengalaman membuat kuih

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Murid-murid Tahun 4 dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat dan mencuba sendiri membuat kuih semasa lawatan sambil belajar ke Bake Culture, Kiulap, hari ini.

Kumpulan murid seramai 80 orang dari JIS akan mengadakan lawatan sambil belajar selama empat hari bermula hari ini hingga 17 Mac di mana mereka dibahagikan kepada empat buah kumpulan.

Ketibaan kumpulan pertama seramai 20 orang murid dan guru sekolah berkenaan yang diketuai oleh Sara McKay, di Bake Culture, hari ini, dialu-alukan dan diberikan penerangan mengenai sejarah penubuhan ringkas francais kedai roti dari Taiwan itu oleh Pengurus Pemasaran Bake Culture, Jonathan Bong.

Semasa berada di Bake Culture, para murid mengikuti beberapa kegiatan menarik termasuk melukis dan menjawab kuiz. Mereka juga dibawa ke kawasan dapur kedai roti itu, untuk melihat sendiri cara penyediaan dan proses membuat kuih serta kek dan mereka juga berpeluang untuk menghias kuih mereka sendiri.

Kumpulan murid JIS dan guru-guru mereka bergambar ramai semasa lawatan ke Bake Culture.
Kumpulan murid JIS dan guru-guru mereka bergambar ramai semasa lawatan ke Bake Culture.

Menurut Sara, lawatan ke Bake Culture merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan bagi para murid sekolah itu di mana mereka banyak mempelajari mengenai jenis-jenis roti yang berbeza dari seluruh dunia.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua kakitangan Bake Culture yang memberikan layanan terbaik kepada para murid dan guru-guru sepanjang lawatan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bake Culture, Wu Chun dipetik menyatakan bahawa sejak dirasmikan pada Ogos 2015 lalu, Bake Culture terus menerima kunjungan bukan sahaja daripada kumpulan pelajar sekolah tetapi juga ahli-ahli korporat dan pelancong dari luar negara.

Menurutnya lagi, penerimaan dan sambutan para pengunjung itu amat dialu-alukan bagi mengongsi minat mengenai proses pembuatan kuih dan kek kepada orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA