Rashford penyelamat Man U

Rashford penyelamat Man U

HULL, 28 Ogos – Pemain gantian, Marcus Rashford meledak gol pada minit kedua masa kecederaan bagi membantu Manchester United menang tipis 1-0 ke atas Hull sekali gus merakam kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi Liga Perdana (PL) Inggeris, awal pagi ini.

Rashford yang dimasukkan pada minit ke-71 itu menampan masuk hantaran Wayne Rooney pada perlawanan yang menyaksikan United hampir keciciran mata susulan pertahanan mantap ditunjukkan Hull yang turut mencatat dua kemenangan dalam dua aksi pertama musim ini.

Rekod Zlatan Ibrahimovic yang menjaringkan gol dalam tiga perlawanan akhir gagal diteruskan namun United diselamatkan oleh penyerang muda terbabit yang dilihat dipinggirkan selepas kehadiran Jose Mourinho ke Old Trafford musim ini.

“Kami layak untuk menang dengan keputusan yang lebih selesa. Kami memiliki mentaliti yang menakjubkan. Kami cuba mencari mata penuh dan berjaya melakukannya.

Marcus Rashford (kanan) menjaringkan gol tunggal perlawanan antara Manchester United dan Hull City di Stadium KCOM, Hull, England. – AP
Marcus Rashford (kanan) menjaringkan gol tunggal perlawanan antara Manchester United dan Hull City di Stadium KCOM, Hull, England. – AP

“Setiap hari saya mengingatkan anak buah saya bahawa kami perlu menang setiap aksi yang diharungi. Kami tahu ada ketika kami mungkin sekadar seri atau kalah namun mentaliti kami adalah untuk menang.

“Itulah yang mereka tunjukkan hari ini,” kata Mourinho. Hull mencipta kejutan dalam dua minggu ini selepas meraih dua kemenangan meskipun tanpa kehadiran pengurus, dihimpit masalah kecederaan dan tiada pemain baharu dibawa masuk dengan pemiliknya cuba menjual pasukan terbabit.

Mereka nyaris mengutip satu mata pada aksi di Stadium KCOM itu sebelum Rashford meleburkan hasrat mereka dengan penyudah pada minit-minit akhir perlawanan. – AP

ARTIKEL YANG SAMA