Rasuah: 12 bulan penjara

Rasuah: 12 bulan penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160623_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Seorang anggota polis trafik berpangkat Lans Korporal dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menerima rasuah, pada 2007.

Mohammad Hannafi bin Awang Abas didakwa menerima suapan $40 daripada seorang warga tempatan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya setelah melakukan kesalahan mengikut Akta Lalu Lintas.

Dia yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Pasukan Polis Diraja Brunei telah melakukan kesalahan itu di kawasan Simpang 74, Kampung Mata-Mata pada 6 Ogos 2007.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli ketika menjatuhkan hukuman menegaskan, ia tidak akan memberi makna kepada negara jika mahkamah bersifat ‘lembut’ terhadap anggota polis yang menerima rasuah.

“Sama ada suapan itu besar atau kecil bukanlah isu tetapi prinsip untuk mempunyai badan penguatkuasaan undang-undang yang bebas rasuah,” katanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo manakala tertuduh diwakili Peguam Yusof Halim.